Duta AS Puji Usaha Malaysia Banteras COVID-19 Luar Biasa

Usaha Malaysia dalam membanteras pandemik COVID-19 dipuji oleh duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian McFeeters.

duta as puji usaha malaysia banteras covid-19 luar biasa

Ujarnya, “Seluruh dunia berdepan cabaran akibat krisis ini, setiap negara lalukan yang terbaik. Saya bukan pakar, tapi daripada apa yang saya tahu, saya rasa Malaysia telah melakukan tugas yang luar biasa.”

Perkara tersebut diluahkan ketika McFeeters bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan AS kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) 2.0 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 10 Mac lalu.

Sumbangan tersebut diberikan oleh Jabatan Pertahanan AS, Bahagian Kemanusiaan Luar Komando Indo-Pasik AS (USINDOPACOM) dan Pejabat Bencana dan Bantuan Awam (OHDACA).

Ia merangkumi alat ujian COVID-19 berserta kelengkapan perlindungan diri (PPE) berjumlah US$75,000, iaitu kira-kira RM309, 000.

Lanjut McFeeters, "Saya harap sumbangan PPE dan kit ujian pantas ini memberi manfaat kepada barisan hadapan. Saya harap sumbangan ini sebagai pengiktirafan terhadap hubungan erat yang telah lama terjalin dan usaha bersama kami untuk memberikan bantuan kemanusiaan semasa krisis.”

Dalam pada itu, syarikat Amerika Syarikat di Malaysia difahamkan telah menyumbang lebih daripada RM 7 juta dalam usaha menangani pandemi COVID-19 yang melanda sejak 2020.

Selain itu, McFeeters turut meluahkan hasrat kedutaan AS yang ingin mengeratkan lagi hubungan antara Amerika Syarikat dan Malaysia.

 

Sumber: Bernama

ARTIKEL BERKAITAN