Dulu Tumpuan Pelancong, Kini Jonker Walk Sepi Daripada Pengunjung

Dahulunya, kawasan tumpuan di Chinatown, Melaka yang dikenali sebagai Jonker Walk ini sering dipenuhi warga pelancong, baik yang datang dari dalam negeri mahupun dari serata dunia.

dulu tumpuan pelancong, kini jonker walk sepi daripada pengunjung

Namun kini, ia hampir lumpuh berikutan pandemik COVID-19 yang melanda.

Memetik laporan Astro Awani yang menjalankan pemerhatian di kawasan terbabit, Jonker Walk kini sepi dan suram.

Lebih menyedihkan, kira-kira 95% premis yang pernah meriuhkan kawasan tersebut terpaksa ‘gulung tikar’ ekoran pelaksanaan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 1 Jun lalu.

Kini yang dapat dilihat, hanyalah kain rentang dan papan iklan kedai-kedai yang ingin menjual dan menyewakan premis masing-masing.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Lo, sejak penutupan sektor pelancongan, para peniaga di kawasan terbabit mengalami kerugian dipercayai mencecah jutaan ringgit.

Lanjutnya lagi, daripada lebih 100 premis, kini hanya tinggal 20 premis yang masih beroperasi namun tetap juga bergelut berikutan kesan daripada pandemik.

Turut terkesan sama ialah penarik beca yang membawa pelancong bersiar di sekitar Jonker Walk dan sekitar Bandar Hilir.

“Penarik beca sudah hampir enam bulan tidak bekerja dan bantuan mereka tidak mencukupi,” jelasnya.

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghidupkan semula Jonker Walk termasuk melakukan promosi secara dalam talian, bagaimanapun, kongsi Tian Loo, ia kurang berhasil.

Difahamkan perjumpaan bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Jonker Walk serta beberapa pengusaha kedai di kawasan itu telah diadakan bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang diutarakan.

Menurut kumpulan peniaga di situ, mereka bergelut dengan harga sewaan tinggi yang menyebabkan mereka tidak berupaya untuk meneruskan operasi perniagaan.

Susulan itu, Tian Loo berharap agar kerajaan dapat mengurangkan kadar cukai taksiran kepada pemilik bangunan untuk membolehkan mereka mengurangkan bebanan yang ditanggung.

 

Sumber: [1]