Bekas pemain bola sepak profesional, David Beckham menghadiahkan kereta vintaj bernilai £500,000 (RM2,770,289) kepada anaknya, Brooklyn Peltz Beckham yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama pasangan, Nicola Peltz Beckham.
Bintang bola sepak dunia yang berusia 46 itu menghadiahkan pasangan pengantin baru itu sebuah Jaguar XK120 yang telah dipulihkan sepenuhnya, dimodenkan dan dielektrik.
Kereta itu merupakan hasil kerja beribu-ribu jam oleh 120 pasukan Lunaz yang terdiri daripada pekerja, pereka bentuk dan juruteknik Kenderaan Elektrik dan dibina sepenuhnya secara dalaman di rumah Lunaz di Silverstone, England.
Beckham difahamkan adalah pelabur di dalam syarikat tersebut.
David Lorenz, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Lunaz berkata, “Dalam mencipta Jaguar XK140 yang cantik dan bertenaga ini, kami berbesar hati untuk merapatkan jurang antara kehidupan profesional David Beckham, yang mana dia adalah pelabur di Lunaz dan kehidupan keluarganya.
“Kereta yang luar biasa ini adalah hadiah sempurna kepada anaknya Brooklyn dan menantu perempuannya, Nicola pada hari perkahwinan mereka,” katanya.
Bekas kapten England itu dikatakan memandu ke majlis perkahwinan anaknya di Palm Beach, Florida pada Sabtu lalu bersama isterinya, Victoria, 47.
Sehari kemudian, Brooklyn dan isterinya pula dilihat memandu kereta terbabit.
Terdahulu, Brooklyn, 23, pernah menyuarakan tentang keprihatinannya terhadap alam sekitar.
“Perubahan iklim jelas sesuatu yang menggerunkan ramai orang. Ia membuatkan saya mahu membantu,” ujarnya.
Sumber: [1]