Dakota Johnson Buka Mulut Tentang Video Tular Dengan Johny Depp

Pelakon Hollywood, Dakota Johnson membuka mulut mengenai video tular yang mendakwa dia melihat jari Johnny Depp yang cedera ketika mereka mempromosikan filem bersama pada 2015.

dakota johnson buka mulut tentang video tular dengan johny depp

Klip pendek itu muncul semula pada April ketika nama Depp dan bekas isterinya, Amber Heard menjadi hangat akibat kes mahkamah mereka, yang mana Depp menyaman Heard sebanyak AS$50 juta kerana memfitnah.

Di mahkamah, Depp mendakwa Heard memotong jarinya dengan botol vodka semasa pertengkaran, beberapa bulan selepas perkahwinan mereka pada Februari 2015.

Klip melibatkan Johnson itu kemudian tular ke TikTok, yang mana ia mendakwa pelakon wanita itu menyedari kecederaan Depp semasa tayangan media filem ‘Black Mass’.

Dalam temubual baru-baru ini, bintang ‘Fifty Shades of Grey’ itu menyentuh mengenai populariti video itu dan kelihatan keliru dengan beberapa pengguna media sosial yang menghubungkannya dengan kisah undang-undang.

“Saya seperti, ‘Demi tuhan, kenapa? Kenapa saya terlibat dalam perkara ini?’” katanya kepada Britt Hennemuth dari Vanity Fair sambil menggelengkan kepalanya.

Pelakon itu terus menyatakan bahawa dia tidak mengingati masa itu dan tidak mahu terlibat dalam cerita tersebut dalam apa cara sekalipun.

“Bolehkah anda bayangkan, ya tuhanku, jika saya dipanggil ke tempat saksi?” tambahnya.

Dalam pada itu, pelakon itu turut menyifatkan perbicaraan tersebut seolah-olah seperti pertunjukan berikutan respons yang diterima daripada orang ramai pada ketika itu.

“Saya tidak boleh percaya bahawa orang ramai menonton perbicaraan tersebut seperti ia satu pertunjukan. Ia seperti drama bilik mahkamah dan hati saya hancur. Ia sangat, sangat, sangat gila.

“Manusia sangat pelik. Internet adalah tempat yang liar dan liar,” katanya.

 

Sumber: [1]