Ekoran daripada penularan wabak COVID-19, ahli psikologi dan psikiatri di Dubai berpendapat wujudnya peningkatan yang besar dalam hal masalah kesihatan mental.
Menurut laporan, ramai yang terpaksa berkurung di rumah akibat sekatan pergerakan yang dilaksanakan, hingga ada pekerja yang berdepan masalah pengurangan gaji dan juga ketidaktentuan nasib dalam pekerjaan masing-masing. Maka, ramai yang berhadapan dengan masalah melibatkan mental seperti tekanan, burnout dan juga stres.
Masalah itu bukan sahaja kepada golongan dewasa, ia turut ‘menjangkiti’ golongan kanak-kanak yang kini terpaksa belajar secara dalam talian serta ‘berjauhan’ dengan rakan-rakan sekelas.
“Bilangan masalah kesihatan mental meningkat dan seperti ‘kebakaran hutan’ (pantas merebak). Faktor ketidakpastian daripada keseluruhan yang disebabkan pandemik inilah yang menjadi faktor pendorong,” kata pakar psikiatri, Dr. Arun Kumar K.
Masalah itu bukan sahaja berlaku di Dubai, malah kepada sebilangan besar penduduk dunia akibat daripada pandemik COVID-19.
Ekoran itu, beliau mencadangkan langkah-langkah pemulihan untuk mengatasi kesan terhadap kesihatan mental.
“Daripada ‘berkabung’ atas masa-masa yang hilang, terimalah kenyataan dan kebiasaan baharu.
“Pandemik ini membuka mata untuk mengembangkan pelbagai kemahiran dan mencari peluang untuk bekerja sendiri dengan pelaburan yang terhad.
“Pada masa ini, kita boleh memilih masuk ke pekerjaan sementara, melabur dalam pengajian tinggi, dan bersiap untuk ketika ekonomi berkembang semula,” jelasnya.
Tambahnya lagi, orang ramai perlu menjalani gaya hidup yang sihat dan tidak menyerah untuk berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini.
Sumber: [1]