Bekas jurulatih kelab Arsenal, Arsene Wenger menyokong cadangan untuk Piala Dunia diadakan setiap dua tahun sekali sambil menegaskan ‘itulah yang diinginkan oleh peminat’.
Cadangan untuk menjadikan Piala Dunia daripada empat tahun sekali kepada dua tahun juga sedang dikaji oleh pengelola bola sepak dunia, FIFA.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan liga dan kelab bolasepak dunia kerana khuatir kehabisan tenaga pemain yang terikat dengan banyak komitmen dalam kejohanan lain.
Arsene Wenger yang kini menjadi ketua perkembangan bola sepak global FIFA berpendapat, pembaharuan kalendar bola sepak antarabangsa dapat membantu kesejahteraan pemain.
"Saya selalu berasakan bahawa rehat jangka masa pendek tidak baik bagi pemain-pemain,
"Itu selalu akan menjadi saat yang tidak menentu. Bagaimana perasaan pemain selepas itu? Adakah anda kembali mengalami kecederaan?," katanya.
Beliau memetik contoh pemain Robert Lewandowski, yang mengalami kecederaan lutut ketika bertugas di Poland pada bulan Mac dan terlepas enam perlawanan untuk Bayern Munich, termasuk kedua-dua aksi suku akhir Liga Juara-Juara mereka dengan Paris Saint-Germain.
"Ia merosakkan keseluruhan musim Liga Juara-Juara. Pasukan kebangsaan dapat bertemu pada bulan Oktober, bermain tujuh perlawanan kelayakan selama sebulan dan kemudian bermain dalam final kejohanan pada bulan Jun.
"Kami mahu mengurangkan jumlah perlawanan -- itu sangat penting kerana kami dapat melihat keadaan pemain," katanya lagi.
Antara cadangan lain yang dikemukakan Wenger berdasarkan komen peminat adalah mengurangkan rehat antarabangsa, menambah lebih banyak perlawanan kalah mati, dan mengurangkan perlawanan kelayakan.
"Fikirkan dengan cara ini: Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada; Kejuaran Eropah 2027 dan kejohanan benua lain; Piala Dunia 2028 yang seterusnya; dan seterusnya,” tambah Wenger.
Kejohanan bolasepak Piala Dunia FIFA aka diadakan di Qatar pada akhir tahun 2022, selepas kali terakhir di Rusia pada 2018.
Sumber: Astro AWANI