Cabar Vokal Dan Kreativiti Penyanyi Dalam ‘The Hardest Singing Show’

Astro mempersembahkan program realiti terbaharu, ‘The Hardest Singing Show’, sebuah program kompetitif yang buat pertama kalinya mempertaruhkan ‘showmanship’ sebagai kriteria utama penjurian diikuti dengan vokal barisan penyanyi-penyanyi hebat tempatan. Program ini bakal menemui pelanggan Astro bermula 12 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.

Program ‘The Hardest Singing Show’ berteraskan konsep ‘Kreativiti Luar Limitasi’, dan bakal menguji kestabilan fizikal, mental dan kreativiti peserta dalam persembahan, di mana secara tidak langsung turut menguji kualiti vokal nyanyian mereka. Peserta juga dikehendaki memberikan satu ‘Wow Moment’ dalam ‘showmanship’ bergantung pada idea dan kreativiti para peserta. Konsep tambahan ini menjadi faktor penting dalam pemarkahan akhir mereka serta kedudukan dalam pertandingan sehingga ke minggu akhir. 

cabar vokal dan kreativiti penyanyi dalam ‘the hardest singing show’

“Para penonton juga bakal menyaksikan penyanyi-penyanyi kegemaran mereka melakukan persembahan yang luar biasa mengikut kreativiti dan pada masa yang sama, peserta perlu mengawal kestabilan vokal nyanyian”, kata Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh. 

Barisan peserta yang bakal bersaing selama 10 minggu menerusi rancangan pertandingan nyanyian terbaharu Astro ini merupakan 9 peserta individu dan berkumpulan terdiri daripada penyanyi terhebat kini, termasuk Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta kumpulan penyanyi wanita popular Malaysia, De Fam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana. 

Manakala pengacara dan penyampai radio popular, Nabil Ahmad bergandingan bersama pengacara, pelawak dan juga penyanyi terkenal Indonesia, Rina Nose yang akan menggemudi rancangan ini. Manakala bangku juri pula disandang oleh barisan penyanyi, komposer dan pengarah  professional yang telah lama berkecimpung di dalam industri muzik dan hiburan, termasuk Dato’ Sri Rossa, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak. 

‘The Hardest Singing Show’ akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur selama sepuluh minggu bermula 12 Mei 2024, setiap Ahad, jam 9.00 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104). Rancangan ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box, aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel.