Boleh Ke Ibu Mengandung Ambil Vaksin COVID-19?

Wanita yang sedang hamil antara golongan berisiko yang perlu dilindungi dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.

boleh ke ibu mengandung ambil vaksin covid-19?
 
Namun timbul tanda tanya sama ada mereka ini boleh ataupun tidak mengambil suntikan berkenaan kerana dikhuatiri memberikan sebarang kesan.
 
Memetik laporan dari Astro Awani, tidak menjadi masalah kepada wanita hamil untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 kerana mereka yang hamil boleh mengalami gejala yang lebih teruk jika tidak mengambil vaksin kerana tiada perlindungan antibodi terhadap virus berkenaan.
 

Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Professor Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris berkata sekiranya seseorang wanita hamil itu tidak mempunyai sebarang alahan, tidak menjadi halangan untuk mereka mengambil suntikan vaksin COVID-19.

boleh ke ibu mengandung ambil vaksin covid-19?
 
"Sekiranya mereka (wanita mengandung) yang berumur lebih 35 tahun, mengalami obesiti atau indeks jisim badan (BMI) melebihi 28, darah tinggi dan kencing manis dijangkiti COVID-19, kesannya lebih buruk.
"Mereka dinasihat supaya berbincang dengan pakar-pakar yang selalu mereka rujuk sama ada mereka harus atau sesuai untuk mengambil vaksin COVID-19.
"Kalau dilihat kepada risiko, mereka ini adalah kumpulan berisiko tinggi, jadi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan mereka ini, jika tiada apa-apa alahan adalah digalakkan untuk mengambil vaksin," katanya.
 
Malah, mereka yang sedang merancang untuk hamil juga tidak menjadi masalah untuk mengambil suntikan vaksin berkenaan.
 
Bagaimanapun menurut Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Niazlin Mohd Taib berkata, wanita hamil serta mereka yang menyusukan anak disaran untuk tangguh pengambilan vaksin ini bagi mengelak sebarang kesan sampingan yang mungkin wujud.
 
"Ibu mengandung tidak boleh mengambil vaksin yang menggunakan 'live virus' dan kalau ikutkan vaksin Pfizer-BioNTech ini tidak menggunakan 'live virus', tetapi ia menggunakan messenger ribonucleic acid (mRNA).
"Jadi sepatutnya tidak menjadi masalah untuk ibu mengandung dan yang menyusu bayi untuk mengambil vaksin tersebut memandangkan ia adalah mRNA.
"Namun, kerana tidak ada data lagi termasuklah daripada Pfizer sendiri, maka kalau boleh tunggu dahulu," katanya kepada Harian Metro.
 

Bagaimanapun buat masa ini, wanita hamil belum boleh lagi mengambil suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, seperti yang di jelaskan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.


Justeru, mereka yang sedang mengandung, menyusukan anak serta merancang untuk kehamilan adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rundingan bersama pakar dan mengikut arahan semasa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan pengambilan vaksin.

 
Sumber: Astro Awani / Harian Metro