Betul Ke Gastrik Bermusim Selalu Muncul Waktu Ramadan?

Sering kali kita menyangkakan bahawa kita ‘diserang’ gastrik ketika berpuasa.

betul ke gastrik bermusim selalu muncul waktu ramadan?

Bagaimanapun Pakar Pemakanan Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Norazmir Md Nor mempunyai penjelasannnya yang tersendiri sekiranya gastrik merupakan ‘penyakit bermusim’.

"Saban tahun bila mana bulan puasa, jadi pesakit gastrik ini akan 'muncul' dalam kalangan rakyat kita.

"Sepatutnya mereka boleh berlatih, maksudnya kenapa saya kata macam itu kita boleh bermula sebelum bulan Ramadan lagi dengan berlatih puasa sunat untuk tengok kemampuan diri untuk berpuasa.

"Jadi, ya saya setuju (gastrik bukan penyakit bermusim). Kita tak boleh katakan gastrik ini bermusim sebab kita boleh latih perut, dan kemampuan kita untuk menghadapi bulan Ramadan. Sebab saya rasa isunya di sini ialah tentang cara dan kaedah pemakanan kita, itu yang perlu dititik beratkan," katanya.

Jelas beliau, gastrik berlaku akibat keradangan pada sistem perut kerana penghasilan enzim berlebihan, mengakibatkan rasa pedih dan sakit pada bahagian tersebut.

Justeru, Norazmir berkata pengambilan makanan yang bersesuaian dengan kalori yang mencukupi ketika bersahur dan berbuka adalah penting untuk mengelakkan gastrik berlaku pada bulan Ramadan.

"Untuk membekalkan tenaga berpanjangan, kita galakkan makanan yang tinggi serat untuk memberikan rasa kenyang yang berpanjangan dan kandungan makanan itu kena rendah indeks glisemik.

"Apabila ia rendah indeks glisemik, jadi lambat tindak balas dalam perut untuk dicernakan (dan mengelakkan) gula dalam darah meningkat. Bila gula dalam darah meningkat, (seseorang itu) jadi lagi cepat lapar," terangnya.

Selain itu, beliau juga menyarankan pengambilan air kosong yang mencukupi ketika waktu bersahur bagi mengelakkan tubuh mengalami dehidrasi dan tidak minum minuman yang mengandungi kafein tinggi.

"Elakkan juga makan makanan yang pedas, berminyak, dan makanan yang tinggi kandungan garam. Ini kerana makanan yang tinggi kandungan garam menyebabkan kadar penyerapan air lagi tinggi dan kita akan rasa cepat haus," katanya.

Dalam masa sama, Norazmir menasihatkan individu yang mengalami gastrik supaya menjalani pemeriksaan kesihatan bagi meneliti tahap penyakit tersebut.

Menurutnya, sekiranya penyakit tersebut boleh memudaratkan jika seseorang itu berpuasa, maka mereka perlu mendapatkan saranan daripada pakar kesihatan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

 

Sumber: [1]