Majlis Berbuka Puasa Bersama Barisan Pelakon The Experts

Filem aksi heist tempatan tahun ini, ‘The Experts’ mengambil keberkatan Ramadan dengan berkongsi rezeki di bulan yang mulia menerusi kolaborasi bersama Mirinda. 

Justeru itu, sebuah Majlis Berbuka Puasa The Experts diadakan pada hari ini bagi membawa keceriaan, sambil menghayati nilai memberi dan saling berkongsi. 

Antara barisan pelakon filem The Experts yang hadir meluangkan masa dan beramah mesra di Majlis Berbuka Puasa The Experts adalah Dato Aaron Aziz, Remy Ishak, Mimi Lana, Ray, Maya Karin, Tony Eusoff, Jay Iswazir dan Hasnul Rahmat.

majlis berbuka puasa bersama barisan pelakon the experts

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan acara berbuka puasa dan pemberian sumbangan duit raya dan bingkisan istimewa kepada anak yatim dan ibu tunggal dari Rumah Nur Hikmah, Taman Medan, Selangor.

Antara wakil tertinggi yang hadir adalah Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, Penerbit Eksekutif Filem The Raja Jastina Raja Arshad; Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan Siou Chin; Ketua Pegawai Eksekutif TGV Pictures & TGV Cinemas, Encik Tan Lay Han; Pengarah Jualan & Pemasaran di Sheraton Imperial Kuala Lumpur Hotel, Shaidatul Nurfairuze, dan Ketua Produksi BlackFlag, Joel Soh.

“Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, kami di Astro Shaw melalui filem The Experts mengambil peluang untuk menyebarkan lagi kemeriahan Ramadan dengan berkongsi rezeki menerusi kerjasama bersama Mirinda. 

Inisiatif ini merupakan usaha Astro Shaw untuk menunaikan tanggungjawab sosial dan mendorong amalan dalam memberi. Kami berharap usaha ini sedikit sebanyak mampu menggembirakan tetamu yang hadir dalam menyambut Syawal yang bakal menjelang,” kata Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad. 

majlis berbuka puasa bersama barisan pelakon the experts

The Experts mengisahkan sekumpulan adik-beradik yang mempunyai kepakaran masing-masing dalam kegiatan merompak. Selepas menggemparkan negara dengan rompakan jongkong emas di lapangan terbang, abang mereka memaksa adik-adiknya untuk memulakan hidup baru.

Diterbitkan Astro Shaw, The Experts bakal temui penonton di pawagam seluruh tanah air pada 23 Mei hadapan. Ikuti perkembangan terbaru dan info-info menarik filem The Experts di akaun media sosial Astro Shaw menerusi platform Instagram, X, Facebook, TikTok dan YouTube.