Baik-Baik Sahaja, Anita Sarawak Hanya Ingin Jalani Kehidupan Biasa

Biarpun dirinya dilihat sunyi daripada arena muzik tanah air, penangan legenda Anita Sarawak masih berbisa terutamanya kepada peminat yang kekal merindui kehadirannya sehingga sekarang.

baik-baik sahaja, anita sarawak hanya ingin jalani kehidupan biasa

Hampir sedekad sudah sejak artis masyhur kelahiran Singapura yang pernah menempa populariti di Malaysia itu dilaporkan berhijrah ke Las Vegas, Amerika Syarikat, pergi ‘membawa diri’ tanpa berjaya dijejaki media.

Biarpun begitu, baru-baru ini, satu mesej yang dibalas kepada seorang wartawan hiburan tanah air, Shuib Taib oleh pasangan Anita iaitu Mahathir ternyata sedikit sebanyak menjawab persoalan mengenai keberadaan mereka.

“Thank you so very much Shuib. We miss you,” begitulah jawapan yang dikirimkan Mahathir sebagai membalas kiriman ucapan hari lahir daripada Shuib untuknya.

Biarpun dibalas singkat, namun mesej tersebut ternyata mencetuskan kegembiraan pada Shuib hingga membuatkannya tergerak hati untuk berkongsi mengenai mesej tersebut di Instagramnya.

Memadai sahajalah reaksi tersebut kerana dalam kalangan wartawan hiburan tanah air, Shuib dikenali sebagai seorang rakan yang sangat rapat dengan Anita.

Sepanjang kariernya bergelar seorang wartawan untuk salah satu akhbar tempatan, Shuib merupakan pengamal media yang sering menulis mengenai pelantun lagu “Akhirnya Kini Pasti” dan “Cinta Nan Satu”.

“Abang Mahathir dan Kak Nita sihat seadanya, mereka mahu menikmati hidup yang normal,” kongsi Shuib kepada Astro AWANI tanpa membuka cerita lebih-lebih mengenai di manakah pasangan itu kini berada.

Anita yang juga merupakan cahaya mata kepada seniman dan seniwati legenda, Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan Allahyarham Siput Sarawak mesra disapa sebagai Kak Nita sementara suaminya pula senang dikenali sebagai Abang Mahathir.

 

Sumber: [1]