Vaksin COVID-19 diberikan dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengawal penularan penyakit COVID-19.
Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk. Ia secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan yang berisiko yang tidak layak menerima vaksinasi.
Di Malaysia, terdapat lima jenis vaksin COVID-19 yang akan digunakan dan salah satu daripadanya adalah vaksin COVID-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech.
Disebut juga dengan kod BNT162b2, vaksin COVID-19 ini dipasarkan di bawah jenama COMIRNATY, adalah berbentuk suntikan intra-otot, yang dibangunkan oleh syarikat bioteknologi Jerman, BioNTech dan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat. Pfizer.
Secara umumnya, semua penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas adalah layak untuk menerima vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech), namun keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 seperti warga emas, pesakit dengan masalah perubatan seperti pesakit jantung, kencing manis, darah tinggi, asma, kanser dan sebagainya.
Persoalannya, bahan apakah yang ada dalam vaksin ini?
Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bahan utama yang ada dalam vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) adalah mRNA, lipid, gula, garam.
Perincian kandungan vaksin adalah seperti berikut:
mRNA, lipids ((4-hydroxybutyl)azanediyl)bis(hexane-6,1-diyl)bis(2-hexyldecanoate), 2 [(polyethylene glycol)-2000]-N,N-ditetradecylacetamide, 1,2-Distearoyl-sn-glycero-3-phosphocholine, and cholesterol), potassium chloride, monobasic potassium phosphate, sodium chloride, dibasic sodium phosphate dihydrate, dan sucrose.
Telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari 2021 untuk penggunaannya di Malaysia, vaksin ini adalah selamat digunakan dalam usaha mencegah COVID-19.
Sumber: National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)