Biar Betul! Kecoh Awan Jatuh Di Ladang Sawit!

Tular di media sosial baru-baru ini mengenai video yang kononnya memperlihatkan gumpalan ‘awan putih’ jatuh di sekitar kawasan ladang kelapa sawit di Kampar, Riau, Indonesia.

biar betul! kecoh awan jatuh di ladang sawit!

Fenomena alam yang jarang ditemui ini kemudian menjadi tular sehingga mencetuskan perbualan dalam kalangan orang tempatan.

Menurut Ketua Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Riau, Edy Afrizal, pasukannya segera gerak ke tempat kejadian sejurus mendengar tentang kejadian itu dan menerima video daripada orang ramai serta kru media.

“Kami sudah hantar satu pasukan, tidak ada laporan terdapat awan jatuh. Apalagi di kawasan Kampar,” kata Edy.

“Banyak soalan, saya periksa di Kampar, tiada. Saya juga mengesahkan dengan rakan-rakan di Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), mereka kata tidak ada. Kemungkinan sisa kilang, tetapi lokasinya belum diketahui,” tambahnya.

Sementara itu, Peramal Bertugas Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Pekanbaru, Yudhistira turut mengatakan benda sama serta menambah bahawa lokasi kejadian itu tidak diketahui.

“Kami belum menerima laporan rasmi di mana lokasinya,” jelasnya.

Bagaimanapun, jika dilihat daripada video yang tersebar, dipercayai bahawa gumpalan putih di ladang kelapa itu sebenarnya adalah buih sisa kilang.

“Boleh jadi buih dari sisa kilang, bukan awan. Secara visual, ia kelihatan seperti buih atau dacron, bukan awan, kerana awan adalah wap air yang terapung di atmosfera. Kalau di darat pun, ia adalah dalam bentuk kabut atau yang sering kita panggil fog,” kata Yudhisthira.


Sumber: [1]