Mahkamah Rayuan pada Khamis lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pempengaruh, Eira Aziera membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kerana membuat penghinaan bentuk fizikal pada Ogos 2020.
Pempengaruh itu bertindak sedemikian kepada Pesuruhjaya Sumpah, Suharnizan Md Sidek menerusi Facebook Live, sebelum laporan polis dibuat dan kes dibicarakan di mahkamah. Suharnizan kemudian memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap pempengaruh itu kerana menghina bentuk fizikalnya.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan Eira Aziera bersalah dan kes dibawa ke Mahkamah Rayuan untuk pertimbangan semula. Bagaimanapun, panel tiga hakim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Tiada merit dalam rayuan defendan, Eira Aziera atau nama sebenarnya Noorazira Pissal, 39, dan tidak dibuktikan juga bahawa Mahkamah Tinggi membuat kesilapan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Eira Aziera untuk menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat dalam semua akaun media sosialnya dan perlu dikekalkan selama enam bulan dari tarikh penyiaran.
"Body shaming" atau perbuatan buli siber yang mana seseorang itu menghina rupa fizikal individu dimana-mana perkhidmatan aplikasi. Tindakan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (b), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Berikut adalah cara untuk membuat saman sekiranya menjadi mangsa buli siber:
1. Buat laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) - https://aduan.mcmc.gov.my/
2. Buat laporan polis
3. Kenalpasti identiti penulis/pembuli untuk diambil tindakan
4. Lantik peguam untuk buat surat tuntutan bagi permohonan maaf.
JIKA MASIH ENGGAN BAGI PERMOHONAN MAAF
5. Mulakan tindakan saman bagi satu ganti rugi.
Sumber: Astro AWANI