Antibodi llama berkemungkinan dijadikan peranan global dalam memerangi COVID-19.
Menurut laporan Reuters, ia bagaimanapun hanya akan diteruskan sekiranya ujian klinikal yang dijalankan syarikat bioperubatan Belgium berjalan lancar seperti yang dijanjikan.
Menurut penyelidik dari Pusat Bioteknologi Perubatan VIB-UGent di Ghent, antibodi terbabit diekstrak daripada seekor llama bernama ‘Winter’, yang mana ia berjaya mematikan penularan koronavirus termasuk variannya dalam ujian makmal.
“Teknologi yang merupakan kemajuan terbesar ini dilihat dapat menambah baik peranan vaksin dalam melindungi orang ramai yang mempunyai sistem imunisasi lemah, selain merawat individu dijangkiti di hospital,” jelas Ketua Pegawai Perubatan ExeVir VIB-UGent, Domunique Tersago.
Lanjutnya, “Antibodi llama yang luar biasa kecil dapat bercantum dengan bahagian tertentu pada spike protein virus, dan kami tidak nampak mutasi pada kadar tinggi di situ.”
Sebagai tambahan, antibodi itu juga menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang kini ligat menular.
Para penyelidik juga menjangkakan ujian klinikal terhadap sukarelawan sihat yang dimulakan minggu lalu akan menunjukkan kesan yang sama.
Kongsi Ketua Kumpulan VIB-UGent, Xavier Saelens, seperti mana llama dan spesies unta lain, Winter menghasilkan versi antibodi yang lebih kecil, stabil dan lebih mudah dihasilkan berbanding mamalia lain.
“Saiznya yang kecil membolehkan ia mencapai sasaran, hingga ke bahagian virus yang sukar diakses antibodi konvensional,” terangnya.
Pencarian rawatan COVID-19 itu susulan kajian pada 2016 berkenaan mengenai antibodi llama bagi melawan koronavirus SARS dan MERS.
Terdahulu, pada 2018, syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi membayar 3.9 bilion euro kepada Ablynx, sebuah syarikat perubatan yang memiliki kepakaran dalam penyelidikan antibodi llama.
Dalam perkembangan lain, Winter, yang antibodinya kini dihasilkan semula di makmal, sedang menikmati ‘persaraan’ di taman seni dan haiwan swasta di Genk.
Sumber: [1]