Hampir 12 Tahun Mendiam, Anita Sarawak Muncul Beri Penjelasan Tentang 'Kehilangannya'

Hampir 12 tahun berdiam diri, penyanyi dan pelakon ikonik Anita Sarawak akhirnya ‘muncul’ bagi menamatkan khabar angin dan spekulasi berkenaan ‘kehilangannya’ sejak 2011.

hampir 12 tahun mendiam, anita sarawak muncul beri penjelasan tentang 'kehilangannya'

Penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti “Seksis” dan “Asmara” itu menghubungi penulis lirik dan bekas wartawan hiburan Roslen Fadzil serta menjelaskan khabar angin tentang beliau dan suaminya, Mahathir Abdullah.

Memetik portal berita tempatan, Roslen berkata, beliau menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya sakit dan menegaskan bahawa dia tidak pernah bercerai dengan suaminya.

“Perbualan kami singkat dan saya juga tidak banyak bertanya kerana mahu menghormati privasi Anita.

“Apa yang saya boleh beritahu anda, cerita yang orang cakap tentang Anita seperti dia sakit, mati dan bercerai adalah tidak benar.

“Apabila dia menghubungi saya, dia ada bersama dengan suaminya,” katanya sambil menambah, Anita sedih apabila mendengar khabar angin yang mengatakan dirinya sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Roslen turut menambah, walaupun mereka sudah lama tidak berhubung, perbualannya bersama penyanyi berusia 70 tahun itu masih sama seperti dulu.

Mereka dikatakan bercakap antara satu sama lain sekitar awal bulan Mei lalu.

“Suara Anita masih kedengaran sama seperti dulu. Dia ceria seperti yang saya kenali ketika itu.

“Anita tidak lagi menyanyi hari ini dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia banyak menghabiskan masa dengan aktiviti kegemarannya seperti berkebun di rumah.”

Jelas Roslen lagi, dia tidak pasti di mana pasangan itu tinggal pada ketika ini kerana mereka gemar melancong.

Terdahulu, Anita dan suaminya dilaporkan berhijrah ke Amerika Syarikat.

Pasangan itu dikatakan menetap di Las Vegas selama 12 tahun yang lalu dan tidak dapat dikesan media sejak itu.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN