Seorang pegawai atasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan bio di makmal Wuhan berdekatan pasar di mana kes pertama manusia dijangkiti COVID-19 dikesan.
Perkara tersebut disuarakan menerusi sebuah dokumentari terbitan saluran televisyen Denmark, TV2.
Menurut Peter Embarek yang merupakan Ketua Misi WHO yang menyiasat asal usul COVID-19, seorang pekerja makmal telah dijangkiti ketika mengambil sampel di dalam gua yang dipenuhi kelawar.
“Seorang pekerja makmal dijangkiti ketika bekerja di dalam gua kelawar semasa mengambil sampel.
“Senario seperti itu serta kebocoran di makmal selari dengan hipotesis pertama kami mengenai penularan virus itu daripada kelawar ke manusia. Ini merupakan hipotesis yang kami anggap besar kemungkinan telah berlaku,” ujarnya.
Awal tahun ini, pasukan mereka terbang ke China bagi melakukan siasatan berkenaan asal usul wabak COVID-19 susulan dorongan daripada beberapa negara anggota WHO yang meminta untuk menyiasat asal usul virus terbabit.
Bagaimanapun, fasa pertama kajian terbabit yang disimpulkan pada 29 Mac menyebut hipotesis bahawa virus COVID-19 berasal dari sebuah makmal di Wuhan adalah ‘sangat tidak mungkin’.
Sebagai tambahan, dapatan kajian tersebut mempercayai bahawa virus itu berkemungkinan tersebar melalui pembungkusan makanan laut sejuk beku, seperti mana yang sering diperkatakan kerajaan China.
Dapatan tersebut kemudian dikritik oleh beberapa pihak yang mempersoalkan kredibiliti misi tersebut.
Memetik laporan Al Jazeera, Embarek bagaimanapun dilaporkan berkata sukar bagi pasukannya untuk membincangkan teori tersebut dengan pasukan saintis China.
Tambahnya, tidak ada sebarang jenis kelawar yang disyaki sebagai takungan virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 hidup di alam liar di wilayah Wuhan.
Satu-satunya manusia yang mungkin mendekati jenis kelawar ini adalah pekerja makmal di wilayah terbabit.
Khamis lalu, WHO mendesak China agar berkongsi data mentah daripada kes COVID-19 yang terawal dikesan bagi memperbaharui siasatan mengenai asal usul wabak itu.
Sumber: [1] [2]