Facebook Didakwa Baca Mesej Peribadi Pengguna Di WhatsApp?

Umum sedia maklum aplikasi permesejan popular, WhatsApp dimiliki oleh syarikat media sosial terkenal dunia, iaitu Facebook. Kedua-dua aplikasi ini mempunyai jutaan pengguna diserata dunia dari segenap usia.

facebook didakwa baca mesej peribadi pengguna di whatsapp?

Sebelum ini, wujud dakwaan kononnya aplikasi Facebook boleh membaca mesej yang dihantar antara pengguna merentasi aplikasi termasuklah WhatsApp. Namun Facebook telah menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia tidak benar sama sekali.

 

Kini sekali lagi dakwaan itu timbul selepas wujud laporan baharu yang mendedahkan WhatsApp yang dimiliki Facebook tidak lagi melindungi privasi pengguna hinggakan mesej yang bersifat peribadi boleh diteliti dan dibaca oleh syarikat tersebut.

 

Laporan dikeluarkan oleh ProPublica mendakwa, Facebook telah mengupah 1,000 pekerja kontrak di seluruh dunia untuk tujuan berkenaan. Ia mendakwa, data peribadi pengguna dikongsi dengan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).

 

“Jaminan diberikan oleh syarikat itu adalah tidak benar.

“WhatsApp memiliki lebih 1,000 pekerja kontrak di Austin, Texas, Dublin dan Singapura yang mana mereka memeriksa jutaan kandungan mesej pengguna,” jelas laporan tersebut.

 

Perkara itu didedahkan selepas pengasas Facebook, Mark Zuckerberg berulang kali menafikan syarikatnya memeriksa mesej WhatsApp pengguna. Namun, beliau mengakui melantik pekerja kontrak untuk ditugaskan menyaring kandungan pengguna WhatsApp serta isu lain termasuklah penipuan, pornografi kanak-kanak serta rancangan serangan pengganas berpotensi.

 

Dalam laporan yang didedahkan itu menyatakan antara maklumat pengguna yang diteliti dan dibaca adalah seperti  nama, gambar profil kumpulan WhatsApp pengguna, nombor telefon, gambar profil mesej status, tahap bateri telefon, bahasa serta sebarang akaun Facebook serta Instagram yang berkaitan.

 

Tambah lagi, laporan itu melaporkan WhatsApp berkongsi metadata atau rekod yang tidak disulitkan yang mendedahkan banyak aktiviti dalam talian pengguna kepada agensi penguatkuasa undang-undang bagi tujuan yang tidak diketahui.

 

Sumber: [1]