Bunyi suara anak adalah antara perkara yang mungkin mendamaikan buat kebanyakkan kita. Namun ia menjadi ‘azab’ buat wanita bernama Karen Cook ini.
Karen Cook, seorang wanita berbangsa Inggeris, menderita sejenis penyakit yang amat jarang ditemui, dikenali sebagai hyperacusis.
Penyakit itu yang menyebabkan bunyi-bunyi harian, seperti ketawa anak-anaknya, suara rakan-rakannya, dan malah muzik, akibatkan kesakitan yang teruk baginya.
Sebelum 18 bulan yang lalu, Karen bekerja sebagai krew kabin dan menjalani kehidupan yang normal dengan suami dan dua orang anak lelakinya. Tetapi kemudian dia mula mengalami sesuatu yang pelik dan menyakitkan.
Karen mula menderita sakit apabila mendengar bunyi-bunyian biasa termasuk bunyi gelak ketawa anaknya sendiri sejak tahun 2022. Tiba-tiba sahaja, bunyi menjadi penyeksaan baginya. Suara orang yang dicintainya, bersembang dengan rakan-rakan, atau mendengar muzik kegemarannya menyebabkan sakit kepala yang amat sangat, sehingga menyebabkan dia mula mengasingkan diri seorang diri untuk mengelakkan daripada terdengar bunyi-bunyian itu.
"Seperti seseorang menuangkan cecair lava panas ke dalam telinga saya dan kepala saya terbakar, kepala saya sakit, terutama di belakang mata saya.
"Ia seperti migrain, terasa seperti anda ingin mencabut kepala anda untuk mengurangkan tekanan," kata Karen kepada BBC.
Selepas pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan Karen didiagnos dengan Hyperacusis. Sejak dari itu, Karen banyak menghabiskan masa di dalam rumah, kerana dia tidak mampu menangani semua bunyi bingit dunia luar, dan walaupun ketika dia berada di rumah seorang diri, dia memakai penutup telinga dan penapis bunyi untuk melindungi dirinya.
"Sesuatu yang seindah ketawa anak-anak saya, mendengar suara mereka, adalah seperti penyeksaan bagi saya.
"Saya akan duduk dan memerhatikan mereka melalui tingkap kerana bunyi mereka terlalu bising bagi saya," kata wanita berusia 49 tahun itu.
Beliau yang dahulunya sangat aktif dan suka melakukan aktiviti di luar, kini telah berubah sepenuhnya. Beliau tekad untuk terus berjuang dan berharap untuk mencari jalan merawat penyakit misterinya ini, tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang ubat yang mampu merawati beliau.
Sumber: Oddity Central