Buah kelapa merupakan antara spesis tumbuhan yang hidup bertaburan luas, khasnya di negara ini.
Tumbuhan ini amat dimanfaatkan banyak masyarakat yang menggunakan hampir semua bahagian pokok untuk pelbagai tujuan, tidak sahaja buah tetapi juga daun dan batangnya, sehingga ia sering mendapat gelaran "pokok seribu guna".
Baru-baru ini, seorang lelaki ‘mat saleh’ mendedahkan giginya patah selepas cuba mengupas buah kelapa dengan teknik menggigit pada bahagian kulit.
Menerusi video TikTok, lelaki yang dikenali sebagai Alexey Brock berkata, beliau cuba mengupas sebiji kelapa dengan giginya, namun gagal.
“Kita berada di Malaysia dan sedang berdepan dengan masalah. Saya cuba untuk mengupas buah kelapa ini dengan menggunakan gigi saya,” ujarnya dalam video tersebut.
Alexey juga dilihat berkunjung ke sebuah klinik pergigian sambil membawa buah kelapa yang digigitnya untuk ditunjukkan kepada doktor.
Dalam hantaran sama, Alexey turut berkongsi aksi seorang penjual minuman air kelapa melakukan demonstrasi mengupas buah kelapa menggunakan parang.
“Kupas buah kelapa macam in, bukan dengan gigi,” ujar penjual tempatan.
Hantaran Alexey mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya terhibur dengan apa yang berlaku kepada lelaki warga asing ini.
Malah, ada yang mencadangkan Alexey menggunakan teknik sama bagi mengupas buah durian, memandangkan ia adalah musim durian ketika ini.
Sumber: Tiktok