Jepun Bina Patung Sotong Gergasi Bernilai RM1 Juta Dengan Dana Bantuan COVID-19

Sebuah bandar nelayan terpencil di Jepun mencetuskan perdebatan dalam talian setelah menghabiskan dana bantuan virus korona dengan membina patung sotong raksasa yang menelan kos hampir USD$250,000 (RM1,031,250), dalam usaha kontroversial untuk meningkatkan pelancongan pasca wabak.

jepun bina patung sotong gergasi bernilai rm1 juta dengan dana bantuan covid-19

Monumen berwarna merah jambu yang besar itu dilancarkan pada Mac lalu di bandar pesisir Noto yang terletak di tengah Jepun, kononnya bersempena dengan kebanggaan keenakan juadah tempatannya itu.

Difahamkan patung yang berharga sekitar RM1 juta itu kebanyakannya dibayar dengan pemberian cukai nasional bertujuan membantu masyarakat yang terkesan dari segi kewangan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda.

Biarpun terdapat perdebatan dalam talian mengenai kelebihan perbelanjaan awam, pegawai tempatan mengatakan mereka berharap pemasangan monumen terbabit berupaya untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang melawat.

“Pelancongan di bandar kami telah rosak teruk akibat virus korona. Kami ingin melakukan sesuatu untuk menyokong industri tempatan,” termasuk mempromosikan penangkapan sotong, kata seorang pegawai di balai kota Noto kepada AFP.

Selain kesan daripada sekatan sempadan dan seruan Jepun untuk menghadkan perjalanan domestik pada tahun lalu, ekonomi bandar terbabit juga dilaporkan terganggu berikutan penangkapan yang tidak berapa lumayan baru-baru ini, tambahnya.

Menurut pegawai itu lagi, orang ramai datang untuk melihat tugu setinggi 13 meter itu ketika cuti umum pada beberapa hari lalu, dengan kanak-kanak bermain di atasnya sementara orang dewasa pula mengambil gambar yang unik untuk paparan di media sosial.

Namun, ternyata terdapat sebilangan orang dalam talian yang kurang senang dengan pembinaan tersebut.

Tulis salah seorang pengguna Twitter dalam bahasa Jepun, “Adalah salah untuk membelanjakan cukai pada barang yang tidak mendesak dan tidak perlu.”

Tetapi, ada juga segelintir orang yang menyokong pembinaan patung sotong gergasi itu dengan mengatakan, “Anak perempuan saya akan pergi ke sana untuk berkelah pada musim luruh. Saya harap mereka tidak akan membawanya (patung tersebut) balik.”

 

Sumber: [1]