Sebuah pameran seni yang mempamerkan hasil karya seorang artis bernama Song Ta di Shanghai, China, terpaksa ‘dibungkus’ gara-gara hasil karyanya yang didapati memiliki memperlekehkan kaum wanita.
Dalam pameran tersebut, Song Ta memberikan ‘ranking’ terhadap lima ribu pelajar perempuan berdasarkan rupa paras mereka menurut citarasanya.
Susulan itu, setelah pameran tersebut memperoleh reaksi negatif daripada orang ramai, pihak penganjur terpaksa mengemukakan permohonan maaf atas perkara tersebut.
Menurut laporan BBC, perkara tersebut menjadi viral di media sosial hingga menyebabkan pihak pengurusan tempat pameran terbabit memutuskan untuk menutup pameran itu.
Semuanya kerana pameran yang bertajuk ‘Ugly and Uglier’ itu menerima banyak kritikan daripada orang ramai kerana dianggap merendah-rendahkan kaum wanita.
“Setelah menerima kritikan, kami menilai kembali isi karya seni ini berserta penjelasan artis, kami mendapati ia tidak menghormati wanita, dan cara pengambilannya memiliki masalah pelanggaran hak cipta.
“Sebagai sebuah muzium yang menyokong kepelbagaian, kami akan menanggap ini sebagai peringatan, meningkatkan layanan kami, dan memperlakukan semua orang dengan empati,” tulis pihak penganjur di platform media sosial Weibo.
Bagaimanapun, Song Ta mempunyai alasan yang tersendiri di sebalik hasil karya seninya itu.
Menurutnya, hasil karya tersebut diciptanya pada 2013 yang mana dia merakamkan wanita di sekitar kawasan kampus. Song Ta kemudian meletakkan ranking pada setiap satu wanita itu berdasarkan pemerhatiannya sendiri.
Hasil pemerhatiannya itu kemudian dibentuk menjadi sebuah video berdurasi tujuh jam yang mengandungi penilaian terhadap lima ribu gadis tersebut, dari yang ‘paling cantik’ hingga yang ‘paling buruk’.
Terdahulu, menerusi satu temu bual bersama satu media pada 2019, Song Ta mengatakan bahawa dia dan pembantunya mengambil foto-foto kesemua wanita itu secara rahsia.
“Saya rasa saya berhak untuk mengatakan yang sebenarnya,” kata Song Ta membela diri.
Biarpun begitu, penjelasan Song Ta tidak diterima baik oleh warganet. Rata-rata warganet meninggalkan komen yang mempertikaikan tindakan artis tersebut yang curi-curi mengambil foto individu lain tanpa diketahui tuan empunya badan.
Sumber: [1]