Si Kucing Yang Mengirim Surat

Lazimnya, kita selalu dengar tentang sejarah mengenai burung merpati yang mengirim surat kepada orang ramai.

si kucing yang mengirim surat

Namun, lain pula yang berlaku di Belgium pada 1876 yang mana ahli-ahli Persatuan Belgia untuk Peningkatan Kucing Domestik mula mencetuskan idea untuk menjadikan kucing sebagai pengirim berita!

Berikutan tercetusnya idea tersebut, masyarakat Belgium mula melatih sebanyak 37 ekor kucing peliharaan untuk menghantar surat di bandar Liège yang terletak di negara itu,

Kesemua 37 kucing tersebut mempunyai beg kalis air yang berisi surat dan diikat pada leher mereka.

Seterusnya, mereka dibawa keluar ke kawasan luar bandar, beberapa kilometer dari rumah mereka.

Menurut New York Times pada Mac 1876, terdapat satu kucing yang tiba di rumah dalam masa lima jam manakala yang selebihnya pulang dalam masa 24 jam.

Hasil tersebut membuatkan masyarakat Belgium berasa sangat gembira hingga kemudiannya mereka mengusulkan untuk menjadikan kucing-kucing mereka sebagai sistem komunikasi harian antara jiran tetangga.

Namun, tidak diketahui pula mengapa skema tersebut tidak begitu membuahkan hasil berbanding dengan apa yang diharapkan mereka.

Mungkin juga ada kaitan dengan keberkesanan menghantar surat sendiri yang lebih efisien berbanding dengan mengikat surat pada leher kucing, meninggalkannya di ladang dengan harapan ia akan berjaya pulang ke rumah.

Meskipun begitu, rancangan tersebut yang akhirnya menemui penamat itu sedikit pun tidak dianggap sebagai membuang masa.

Mengapa? Kerana pada 2007, kejadian terbabit sebenarnya telah menginspirasikan seorang wanita dari Amerika untuk menulis sebuah buku tentang segalanya yang berlaku.

Hal itu berikutan, kerana tidak banyak butiran yang pernah disimpan mengenai episod bersejarah itu.

Buku The Mail-Carrier Cats of Liège milik Gretchen Lamont yang pernah dikeluarkan sebelum itu difahamkan mengandungi banyak fiksyen berbanding fakta.

Terdapat kemungkinan besar bahawa Persatuan Belgia untuk Peningkatan Kucing Domestik sebenarnya mendapat inspirasi untuk menjadikan kucing sebagai pengirim surat dari latihan yang disebut sebagai perlumbaan kucing yang mula meledak popularitinya di Eropah utara sekitar 1860-an.

Pada 1889 pula, seniman Inggeris bernama Harrison Weir menerbitkan sebuah buku berjudul Our Cats and All About Them.

Menerusi buku tersebut, dia menerangkan dan menggambarkan jenis keturunan kucing yang terdapat pada masa itu.

Turut terkandung dalam buku terbabit ialah petikan artikel daripada Pictorial Times yang menggambarkan perlumbaan kucing yang mana kesemua peserta kucing terbabit bakal dibawa ke luar bandar dan dibebaskan pada lewat malam.

Menurut artikel yang dipetik oleh Weir itu juga, perlumbaan kucing dilakukan setiap tahun di pinggir bandar Liège pada waktu karnival dan ini merupakan satu hobi yang sangat popular.

Kucing pertama yang berjaya pulang ke rumah akan memenangi hadiah ham, sosej dan juga beberapa barang lain.

Adakalanya, ada juga yang mana hadiah bagi perlumbaan terbabit merupakan sudu perak!

Dalam pada itu, Harrison Weir yang turut dikenali sebagai "The Father of the Cat Fancy" sebenarnya merupakan orang pertama yang menganjurkan pertunjukan kucing pertama di England, di Crystal Palace, London dua tahun sebelumnya, iaitu pada Julai 1871.

Dalam pertandingan terbabit, Weir dan abangnya, John Jenner Weir, bertindak sebagai hakim pertandingan.

 

Sumber: Culture Trip