‘Panggilan Pekak Tu Agak Sensitif’ - Zee Avi Mengaku Bergantung Pada Alat Pendengaran

Penyanyi Zee Avi mengaku dia telah menggunakan alat bantuan pendengaran kerana masalah pendengaran yang dialami sejak beberapa tahun lalu.

‘panggilan pekak tu agak sensitif’ - zee avi mengaku bergantung pada alat pendengaran

Menurut penyanyi yang pernah menempa populariti menerusi lagu “Kantoi” itu, alat bantuan pendengaran itu telah dipakai sejak setahun lalu pada kedua-dua belah telinga.

“Kalau orang panggil pekak, ya, nak buat macam mana lagi kan. Tapi perkataan pekak itu sebenarnya agak sensitif untuk kebanyakan orang sebab kesukaran pendengaran ini ada banyak tahap. Apa yang saya alami adalah hilang pendengaran tapi untuk orang pekak mereka memang daripada lahir.

“Jadi, saya sebenarnya hilang pendengaran. Bila tak jaga kesihatan pendengaran macam itulah ceritanya. Sekarang ini 13 jam saya perlu pakai alat bantuan pendengaran ini, kalau tidur tak pakai. Bila bangun saja terus pakai. Kalau tak pakai bunyinya macam dalam otak. Jadi, rasanya sangat sunyi.

“Sejak setahun lalu, saya perlu pakai alat ini di kedua belah telinga. Kalau tak buat sesuatu, ia akan menjadi makin teruk. Kalau saya tak guna alat ini, kita akan kuatkan lagi bunyi jadi ia akan jadi lebih teruk. Saya sangat bersyukur disebabkan teknologi alat ini jadi tak nampak pun sebenarnya kalau saya pakai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zee turut mendedahkan dia semakin pasrah dengan masalah pendengaran yang dihadapi walaupun ia sedikit sebanyak telah menjejaskan kehidupan hariannya.

“Apa yang seksa adalah bila ramai kawan yang bercakap lemah lembut, jadi bila nak suruh mereka kuatkan suara, saya yang rasa macam mereka sedang sakit. Bila mereka kuatkan sikit suara, mereka dah rasa macam menjerit jadi saya tak mahu lakukan itu kepada kawan saya. 

“Lama kelamaan saya akan rasa malas nak bagi tahu. Setiap kali kalau saya pergi mesyuarat dengan menteri atau orang penting takkan saya nak bagi tahu mereka supaya kuatkan suara.

“Apabila tak dengar, kelantangan suara itu makin lama makin kuat. Pembesar suara 'bluetooth' pun kena letak berhampiran saya. Sekarang ini tak perlu guna dah. 

“Kalau buat pembesar suara dekat telefon pun tak dengar. Tetapi sekarang dah makin baik dan mudah dengan alat ini,” ujarnya.

 

Sumber: HMetro