Penyanyi rap popular, Yonnyboii, 24, mengaku masih belum bersedia untuk menahan rasa rindu akibat berjauhan dengan isteri, Nik Nazira, 23, walaupun telah mendirikan rumah tangga bersama hampir setahun.
Menurut Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, mereka masih belum pernah berjauhan antara satu sama lain sejak berkahwin pada November tahun lalu.
“Setakat ini kami tak pernah berjauhan. Dia akan mengikut dan menemani ke setiap lokasi kerja saya. Saya juga melakukan hal sama terhadapnya.
“Bukan tak mahu berenggang tetapi belum bersedia untuk melalui rasa rindu terhadap pasangan. Kami selesa begini dan rumah tangga pun tak sampai setahun, saya anggap masih dalam tempoh berbulan madu,” ujarnya.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu “Sakit” itu, dia menyokong sepenuhnya karier isteri yang aktif sebagai influencer dan kini semakin berjinak-jinak dengan dunia lakonan.
“Selain kerjanya sebagai pemengaruh media sosial, dia juga ada terima tawaran berlakon.
“Saya sokong kariernya dan bangga dengan setiap apa yang dilakukannya.
“Sebenarnya sebelum ini dia ada juga terima tawaran berlakon drama tetapi menolak kerana kami sama-sama tak mahu rasa rindu. Dia utamakan saya,” ujarnya.
Sumber: Kosmo