Sebilangan Besar Petugas Barisan Hadapan Hadapi Burnout

Sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara khususnya semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masyarakat sangat terkesan dari segi emosi dan kesihatan mental.

sebilangan besar petugas barisan hadapan hadapi burnout

Antara masalah berkait dengan kesihatan mental yang dikenal pasti adalah kerisauan, keresahan, perasaan sedih, kemurungan, serta hilang harapan untuk meneruskan kehidupan. Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan semenjak 25 Mac 2020 mendapati kebanyakan pemanggil memerlukan sokongan emosi dan juga kaunseling.

sebilangan besar petugas barisan hadapan hadapi burnout

Bagi petugas barisan hadapan pula isu utama yang dihadapi oleh sebilangan besar mereka adalah gejala tekanan yang melampau ataupun burnout. Hal ini berlaku apabila mereka perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100 peratus bagi suatu tempoh yang lama. Situasi ini juga telah mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu konsentrasi serta produktiviti petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

 

Hasil kajian yang dijalankan ke atas 893 petugas kesihatan mendapati:

  • berkaitan peribadi (personal related burnout) adalah sebanyak 53.8 peratus, dan paling tinggi adalah dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan di peringkat daerah;
  • Prevalen burnout berkaitan pekerjaan (work related burnout) adalah sebanyak 39.1 peratus di mana Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dan petugas di makmal mencatatkan peratusan tertinggi;
  • Prevalen burnout berkaitan dengan pesakit (patient related burnout) adalah sebanyak 17.4 peratus dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta;
  • Kebanyakannya merasakan bahawa mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja

sebilangan besar petugas barisan hadapan hadapi burnout

Antara faktor yang mencetus situasi burnout dalam kalangan petugas kesihatan adalah:

  • bebanan tugas yang tinggi;
  • ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang;
  • pertukaran dan proses adaptasi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai;
  • rancangan kerjaya terganggu; dan
  • kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya.

 

Menyedari situasi ini, KKM telah mewujudkan beberapa inisiatif untuk menangani gejala tekanan yang melampau, khususnya bagi kakitangan kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik ini, antaranya adalah:

  • Saringan kesihatan mental sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai tanda-tanda awal tekanan, keresahan dan kemurungan;
  • Psychological First Aid (PFA) diberikan kepada mereka yang bermasalah dan dirujuk kepada kaunselor atau pakar psikiatri mengikut keperluan;
  • Selain itu, sesi pre-deployment turut diberikan kepada petugas kesihatan dan sukarelawan daripada agensi lain yang dimobilisasikan ke seluruh negara untuk bertugas membantu mengendalikan pandemik COVID-19.  Sesi ini adalah sebagai persediaan mental sebelum melaksanakan tugas;
  • Petugas juga diberikan Mental Health Alert Card apabila selesai menjalankan tugas bagi pemantauan kendiri tahap kesihatan mental mereka;
  • Bagi mengelakkan burnout, petugas kesihatan yang terlibat dalam pengendalian wabak COVID-19 turut diberikan cuti tanpa rekod dengan persetujuan Ketua Jabatan;
  • Sesi debriefing diberikan kepada petugas setelah selesai tugasan di lapangan;
  • Mengamalkan konsep pusingan kerja (Job Rotation); dan
  • Menempatkan pasukan MHPSS di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) seperti di PKRC MAEPS untuk memberikan perkhidmatan kaunseling dan intervensi psikososial kepada kakitangan dan pesakit.

 

Petugas barisan hadapan juga disarankan untuk mengambil langkah penjagaan kendiri (Self-Care) bagi mengelakkan burnout seterusnya mewujudkan budaya kerja yang sihat dan ceria seperti berikut:

  • Bekerja secara efektif sebagai sebuah pasukan bagi meringankan beban tugas;
  • Sentiasa melakukan penilaian kendiri bagi mengesan tanda-tanda awal burnout;
  • Membina hubungan baik antara rakan sekerja dan ahli keluarga;
  • Sedia berkongsi dan mendengar pandangan serta nasihat sekiranya mempunyai masalah;
  • Mengamalkan senaman dan teknik kawalan pernafasan bagi mengurangkan tekanan; dan
  • Dapatkan rehat secukupnya serta amalkan pemakanan yang seimbang.

 

KKM juga menggesa semua petugas barisan hadapan untuk sentiasa mengambil berat aspek kesihatan mental di samping memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam memberi perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit-pesakit khususnya dalam tempoh melawan pandemik ini.

 

Sumber: KP Kesihatan