Pelakon, Reen Rahim mengakui terpaksa menangguhkan hasrat mahu memiliki cahaya mata buat sementara waktu disebabkan terikat dengan komitmen kerjaya.
Menurut Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 35, beliau bagaimanapun percaya pada aturan Allah dan pasti ada hikmah disebalik pengorbanan yang dilakukannya itu.
“Buat masa sekarang, saya memang tidak boleh mengandung sebab terikat dengan kontrak. Jadi soal memiliki cahaya mata itu terpaksa saya dan Hazim (suami) tangguhkan buat sementara waktu,” kata Reen.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa syukur kerana suaminya, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, memahami kerjaya seninya dan turut menyerahkan sepenuhnya soal zuriat kepada Tuhan.
“Alhamdulillah, suami sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya. Bila tamat kontrak nanti, kami serahkan sepenuhnya kepada Allah soal anak,” ujar Reen.
Terdahulu, Reen dan Hazim selamat mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu di Boraombak Marina, Putrajaya.
Sumber: Kosmo!