Sebut sahaja nama Khairul Aming, pasti kebanyakkan kita sudah dapat membayangkan tagline “Hey whatsup guys!” yang disebut olehnya setiap kali beliau berkongsikan video resipi masakan.
Beliau yang juga pempengaruh dan usahawan menyifatkan dirinya lebih gemar untuk melabur dalam perniagaan sambal yang diusahakan, berbanding dari membeli barangan mewah untuk diri sendiri.
Menurut Khairul Aming dalam satu video siaran langsung baru-baru ini, pembelian aset yang memberi pulangan wang semula seperti mesin sambal adalah lebih baik, berbanding daripada membeli kereta mahupun rumah mewah.
“Saya memang tak ada rumah, saya tak ada kereta mewah, ada satu kereta yang baru saya beli pada mak saya tapi bukan untuk saya. Aset saya semua kilang sahaja.
“Saya memang jenis suka melabur dalam bisnes, duit daripada bisnes akan berkembang untuk bisnes semula.
“Bab bisnes saya tidak berkira macam contoh staf nak pakai atau beli mesin ini, okey beli. Tetapi kalau saya nak beli barang sendiri, pergi kedai ini, tengok mahal, letak balik la,” kongsinya.
Tambah lagi, beliau juga tidak suka membuat pinjaman peribadi atau bank semata-mata mahu memenuhi kehendak dan menganggap kehidupan bebas hutang adalah lebih baik.
“Saya memang tak ada loan (pinjaman), satu-satunya yang saya ada ialah kereta Perodua Bezza itu sahaja, yang lain semua aset yang dah dibeli dah habis bayar termasuklah dekat kilang.
“Dekat kilang semua mesin juta-juta itu semua dah habis bayar, itu semua aset saya.
“Kalau la satu hari nanti saya mati, bisnes saya tak jalan, keluarga saya boleh jual semua mesin-mesin yang ada, boleh dapat duit daripada itu untuk mereka,” katanya.
Perkongsian pempengaruh itu mendapat pujian daripada warganet yang rata-ratanya setuju dengan apa yang diperkatakan, selain menjadikan beliau sebagai idola.
“Khairul Aming, jutawan yang patut dicontohi. Baguslah nak beli apa-apa fikir dahulu, jangan beli ikut nafsu nanti kemudian hari mendatangkan kesusahan,” puji seorang warganet.
Sumber: Tiktok