Bintang filem PASKAL, Jasmine Suraya Chin mengatakan dia telah lama memendam hasrat untuk mempelajari Islam.
Kongsi Jasmine yang kini berusia 33 tahun, dia telah menyimpan keinginan itu selama tiga tahun.
Namun, ia akhirnya direalisasikan selepas dia mengambil keputusan untuk menghadiri majlis ilmu Hijrah Cinta yang diadakan Neelofa baru-baru ini secara senyap-senyap.
“Secara jujurnya, ini boleh dikatakan sebuah perjalanan yang cukup peribadi untuk saya. Hakikatnya, saya kalau boleh nak simpan hal untuk peribadi saja. Saya pun tak berani nak kecoh sangat.
“Apa boleh saya kata, saya ingin tahu sejak beberapa tahun ini. Saya pun melalui isu peribadi dan jemputan itu datang tanpa disangka. Seorang kawan ajak saya kerana dia tahu saya tertanya-tanya dan mahu tahu lebih lanjut.
“Saya ingin tahu sebab mahu dapatkan kepastian. Apabila kita tiada pegangan, banyak hal dirasakan seperti tak stabil. Mungkin asal-usul saya agak bercelaru dan tidak seimbang, itu yang saya rasa,” katanya.
Menurut Jasmine, terdapat beberapa kisah yang dikongsikan ustazah di majlis tersebut terasa dekat dengan dirinya.
“Saya rasa ia cukup menarik dan saya pergi. Menariknya, beberapa kisah yang ustazah kongsi ketika itu sangat berkaitan dengan diri saya.
“Sebenarnya saya tak nak orang tahu saya pergi. Sepanjang majlis pun saya pakai pelitup muka dan ramai tidak cam meskipun ramai sebenarnya kawan saya hadir ketika itu. Saya pun tak berani nak tegur mereka. Saya enggan tonjolkan diri,” katanya.
“Ada perkara yang dikongsi ustazah juga cukup menyentuh saya. Saya tak pernah percaya mengenai sebarang petunjuk. Tapi saya bertanya kepada kawan, adakah itu satu petunjuk?” tambahnya lagi.
Sumber: HMetro