Sejak akhir-akhir ini, penggunaan produk Ivermectin dilaporkan digunakan secara meluas tanpa pengawasan doktor, dengan tujuan rawatan dan pencegahan COVID-19.
Meskipun ubat berkenaan kini tergolong dalam kategori ubat-ubat penting sebagai alternatif terbaru dalam mengekang wabak COVID-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun penggunaannya perlulah melalui nasihat dan juga pengawasan doktor dan juga pakar kesihatan.
Menurut Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS), Dr. Pramjit Singh dalam satu kenyataan, ubat Ivermectin bukanlah seperti panadol yang boleh diambil tanpa pengawasan pakar kesihatan.
“Ada laporan yang menyatakan orang ramai menyalahgunakan Ivermectin dengan membeli dan mengambilnya sendiri tanpa pengawasan doktor.
“Ubat ini merbahaya diambil jika tiada pengawasan, kita kena patuhi garis panduan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung penggunaan Ivermectin ini,” katanya.
Tambahnya lagi, setakat ini masih belum ada data klinikal yang membuktikan keberkesanan pengunaan Ivermectin dalam rawatan mahupun pencegahan wabak COVID-19, maka orang ramai tidak seharusnya membahayakan diri sendiri dengan mengambil ubat berkenaan.
“Kita tidak boleh bahayakan diri sendiri dengan mengambil ubat yang masih belum ada data klinikal yang sahih.
“Hanya pakar perubatan bertauliah mempunyai protokol sama ada mahu menggunakan Ivermectin ke atas pesakit Covid-19 atau tidak,” katanya lagi.
Menurut Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang berkata, mana-mana pihak yang mempromosikan ubat Ivermectin sebagai penawar COVID-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah Akta Racun 1952.
Ivermectin adalah ubat anti-parasit yang diluluskan oleh FDA dan kebiasaannya digunakan untuk haiwan dan untuk merawat beberapa penyakit tropika termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases. Belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk merawat dan mencegah COVID-19.
WHO setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, di mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan.
Sumber: [1], [2], [3]