Selepas isu mengenai harga ikan siakap dan sotong yang didakwa mahal baru-baru ini, kini kecoh pula masakan sayur kailan ikan masin yang dijual pada harga RM18 di sebuah restoran dekat Pulau Pinang.
Perkongsian yang dibuat oleh seorang pelanggan di media sosialnya mendakwa harga sebungkus plastik kailan untuk satu orang makan yang dibelinya terlalu mahal.
Pelanggan itu turut memuatnaik foto sebungkus sayur kailan ikan masin berserta resit pembayaran yang memaparkan harga sebungkus sayur itu.
Selain kailan, resit itu turut memaparkan harga lauk ikan jenahak (RM90), sayur campur (RM9), serta ulam dan sambal (RM5) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM122.
Individu itu bagaimanapun tidak memaparkan nama dan lokasi sebenar restoran yang terletak di Kepala Batas, Pulau Pinang itu.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai hingga tular di laman sosial sejak semalam dengan rata-rata warganet mendakwa harga itu tidak masuk akal dan mahal.
Menurut jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, pengadu diminta untuk tampil membuat aduan rasmi untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: [1]