Sama seperti selebriti lain, pelakon, Eyka Farhana tidak lari daripada menerima kecaman warganet.
Eyka Farhana atau nama sebenar Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi berkata, beliau akui terasa kecil hati apabila membaca komen jahat netizen dan sering menjadi sasaran kecaman segelintir warganet terutama melibatkan penampilannya yang dikatakan semakin seksi.
Bagaimanapun jelas pelakon berusia 27 tahun ini, beliau tidak mahu terlalu beremosi hingga menggangu kesihatan mentalnya, jadi beliau memilih untuk tidak membaca komen netizen.
“Tipu kalau tidak terasa bila baca komen. Jadi, untuk jauhkan perasaan itu, saya pilih untuk tidak baca komen. Saya lakukan untuk jaga kesihatan mental sendiri.
“Tetapi, ada juga yang menyampai dan bertanya. Bila ada komen melampau atau berunsur lucah, saya sekat akaun itu terus. Apatah lagi jika melibatkan keluarga, itu sangat melampau.
“Nasihat dan teguran itu ada caranya. Kalau peminat tegur dengan baik, saya terbuka dan terima. Cuma, kalau sampai maki hamun atau menggunakan perkataan tidak sesuai, saya sekat. Untuk kebahagiaan diri, saya kena elak semua itu,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai penampilannya yang dikatakan semakin seksi, jelas Eyka ia bergantung kepada penerimaan orang terhadapnya. Jelasnya, mungkin orang sudah terbiasa melihat penampilannya di kaca TV dan mengharapkan beliau kekal sebegitu, sedangkan beliau mempunyai cara penampilan serta pemakaiannya tersendiri ketika di luar.
Sumber: Utusan