Penyanyi dan komposer, Cat Farish dilapor bakal bernikah dengan kekasihnya, Shikin Maembong pada 13 Julai depan.
Menurut pemilik nama sebenar Farish Ramli, beliau enggan menangguhkan perkahwinan memandangkan kedua mereka sudah berusia.
"Gambar yang di muat naik itu adalah 'pre video' namun majlis pernikahan bakal diadakan pada 13 Julai depan manakala resepsi pula pada 15 Julai.
"Pada mulanya saya memang enggan terburu-buru untuk berkahwin semula namun tidak manis apabila sering ke sana ke mari dengan Shikin.
"Malah, anggota Ruffedge juga menasihatkan saya untuk mempecepatkan perkahwinan. Apatah lagi, saya bakal menjengah usia 50 tahun, kami masing-masing sudah tidak muda," katanya.
Menurut Cat, tarikh itu dipilih sebagai simbolik kepada angka usia anak perempuannya yang kini berusia 15 tahun.
"Tiada simbolik disebalik tarikh yang dipilih, kebetulan anak saya pun berusia 15 tahun. Bukan mudah sebenarnya hendak mendekati dan memenangi hati anak remaja namun Shikin berjaya.
"Malah, saya maklum ayoh (bapa Shikin) juga bukan mudah untuk memberi keizinan. Alhamdulillah, selepas dua kali berjumpa ayoh terus bersetuju.
"Persiapan semuanya sudah 60 peratus, cuma bahagian mengisi borang sedikit rumit namun semuanya dipermudahkan," katanya.
Terdahulu, Cat pernah mendirikan rumah tangga bersama Suriani Hassan pada November 2020, namun disahkan berpisah pada Januari lalu dan tidak dikurniakan cahaya mata. Cat juga pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan dikurniakan tiga anak, namun berpisah pada April 2016.
Shikin pula pernah bernikah dengan Chef Riz pada Disember 2014, dan dikurniakan seorang cahaya mata sebelum berpisah pada Jun 2016. Beliau kemudian berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020, namun berpisah dua tahun kemudian.
Sumber: HMetro