Pelakon, Puteri Sarah Liyana mendedahkan anak sulungnya, Syaikhul Islam tahu akan konflik rumah tangga membabitkan dirinya dengan suami, Syamsul Yusof menerusi laman Youtube.
Kata Puteri Sarah lagi, perkara itu hanya dikongsikan Syaikhul kepada datuknya, Datuk Yusof Haslam yang kemudian meminta agar Syaikhul tidak bimbang.
“Dia mungkin dengar (berita) dari YouTube tetapi tak tanya terus dengan saya, sebaliknya cuma bercerita kepada datuknya.
“Syaikhul sendiri bercakap dengan datuknya, ‘Abang (Syaikhul) sudah tahu’ merujuk apa yang sedang berlaku antara kami berdua.
“Jadi Datuk (Yusof Haslam) dan Datin (Patimah Ismail) telah terangkan segala-galanya. Saya tidak pasti reaksi dia bila pertama kali mengetahui perkara itu.
“Mereka katakan, walau apa pun yang terjadi, mereka tetap menyayangi Syaikhul dan Sumayyah, selain berharap dia tidak perlu risau,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Puteri Sarah lagi, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan ibu dan bapa mentua sepanjang melalui tempoh sukar ini.
Katanya lagi, dia hanya meminta agar dilepaskan kerana tidak lagi timbul rasa sayang terhadap suaminya itu, meskipun Syamsul berkata masih ada sinar untuk menyelamatkan perkahwinan mereka ini.
Sumber: Kosmo! Online.