Pengarah filem Zombitopia, Woo Ming Jin, akui bahawa beliau terinspirasi oleh filem-filem luar negara seperti Train to Busan, yang akhirnya mendorong kepada penghasilan filem terbaru beliau, berjudul Zombitopia.
“Saya berhasrat untuk membikin filem zombi kegemaran saya seperti Train to Busan – zombi yang kelihatan realistik dan pantas serta mampu bergerak kepada anda. Begitulah dasar pembuatan filem kali ini, dan kita juga berjaya mendapatkan barisan pelakon terbaik dalam industri seperti Bront Palarae dan Elvina Mohamad,” katanya menerusi satu sidang media virtual sempena pelancaran Zombitopia.
Kongsinya lagi, hasil karya arahannya kali ini merupakan sesuatu yang sarat dengan mesej berguna, selaras dengan apa yang ingin disampaikannya.
“Saya ingin melakukan sesuatu yang berkaitan dengan unsur kemanusiaan. Filem ini juga berunsurkan kekeluargaan,” luahnya.
Tambah Woo Ming Jin yang juga pengarah filem box office KL Zombi, beliau berasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang rata-ratanya merupakan nama-nama besar dan hebat dalam industri, misalnya, Shaheizy Sam, Bront Palarae, Datin Elvina Mohamad dan Sharifah Amani.
Turut menarik perhatian, filem Zombitopia turut ‘meminjam’ kepakaran kumpulan penari untuk memainkan peranan sebagai zombi dalam filem terbabit. Woo Ming Jin mempunyai penjelasan menarik di sebalik keputusan itu.
Jelasnya, “Saya mengambil idea daripada filem Train to Busan. Jadi, kami menyewa sekumpulan penari untuk berlakon sebagai zombi kerana mereka bergerak dengan lancar.”
Tambahnya lagi, mereka juga turut menggunakan khidmat daripada artis kesan khas yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat untuk mengubah suai kanta lekap khas untuk dipakai oleh pelakon-pelakon zombi dalam filem itu.
Menurut Woo Ming Jin, ia tidak lain tidak bukan adalah untuk meningkatkan lagi kesan khas dalam Zombitopia sekali gus menambah kualiti filem agar setaraf dengan filem-filem luar negara.
“Saya mahu melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelumnya. Kami bekerja dengan ramai bakat-bakat tempatan dalam menghasilkan solekan terhebat, khususnya untuk kesan khas.
Bagaimanapun, kongsi Woo Ming Jin lagi, terdapat beberapa kesukaran yang dialami krew filem terbabit dan antaranya termasuklah kesan computer-generated imagery (CGI) yang memakan masa lama.
“Terdapat banyak perkara kecil yang sebenarnya dibuat dengan menggunakan kesan CGI yang pastinya tidak disangkakan penonton. Salah satunya ialah ‘wiring’. Kami mempunyai ribuan tangkapan CGI. Ia cukup mengujakan. Terlalu banyak benda,” ujarnya yang penuh dengan keterujaan.
Dalam pada itu, salah seorang teraju utama filem Zombitopia, iaitu Shaheizy Sam meluahkan keseronokannya kerana dapat melihat kemunculan semula dirinya di layar perak setelah sekian lama.
“Bagi Sam sendiri, filem zombi ini memang dekat dengan orang kita. Sebelum ini kita disajikan dengan Zombi Kampung Pisang yang memiliki unsur komedi yang bagus. Bagaimanapun, masih belum ada filem zombi di Malaysia yang berkonsepkan ‘serius’, seperti mana yang Sam nampak,” katanya.
Tambahnya lagi, dalam keadaan pandemik sebegini, peminat pastinya akan berasa dekat dengan filem Zombitopia, mengenangkan situasi pandemik yang mana orang ramai berasa takut untuk keluar kerana khuatir dijangkiti virus.
“Bukan setakat di Malaysia, satu dunia juga pasti akan berasa dekat dengan filem zombi memandangkan sekarang pandemik. Satu dunia takut untuk keluar kerana virus, terpaksa lebih berhati-hati. Kalau hendak dikaitkan dengan unsur zombi, Sam rasa ia (zombi) lebih menakutkan kerana kita dapat melihat sendiri ancaman itu di depan mata,” ujarnya.
“Sam sendiri pun tak sabar nak menonton Zombitopia. Kalau tak silap, penggambaran untuk filem ini berlaku sekitar 2015 atau 2016. Rasa sangat teruja kerana belum pernah ada lagi filem zombie yang ‘serius’ seperti ini. Harapnya, orang di luar sana berkongsi perasaan yang sama seperti Sam,” kata pelakon itu.
Filem Zombitopia bakal menemui ramai bermula Jumaat 2 Julai ini menerusi platform Disney+ Hotstar.
Selain Shaheizy Sam, Zombitopia turut dibintangi Bront Palarae, Datin Elvina Mohamad dan Sharifah Amani.