Vokalis kumpulan The Real Spin, Khalis Md Shaari, 33, dilaporkan menderita penyakit misteri yang diketahui sebabnya.
Khalis yang juga merupakan adik kepada vokalis Spin, Allahyarham Achik dikhabarkan sedang menjalani rawatan di Hopsital Tuanku Jaafar (HTJ) sejak Rabu lalu.
Penyanyi Tajul, yang juga adik kepada Khalis berkongsi mengenai perkembangan terbaru Khalis kepada satu akhbar tempatan.
Katanya, “Wallahualam, saya pun tak tahu. Tapi kalau orang tengok gambar abang saya, orang pun boleh jangkakan dia sakit apa.
“Dia sakit teruk sejak empat hari lepas sampai tidak boleh berjalan, terbaring saja dan cakap pun tak berapa betul.”
Menurut Tajul, dia tidak menolak kemungkinan bahawa penyakit yang dihidapi abangnya itu berpunca daripada buatan orang.
Lanjutnya lagi, beberapa hari lalu, keluarga mereka sempat membawa abangnya itu untuk menjalani perubatan Islam yang mana Khalis ada menunjukkan perubahan positif.
“Dia dah boleh berdiri dan bercakap. Tapi keesokannya keadaannya tak sihat semula sehingga ahli keluarga terpaksa menghantarnya ke hospital.”
Ujar Tajul, setakat ini dia masih belum punya kesempatan untuk pulang melawat Khalis di Seremban namun dia sentiasa mengikuti perkembangan rapat mengenai abangnya itu menerusi adik-beradik lain yang menetap di Seremban.
“Saya memang nak balik tengok abang. Tengoklah kalau dapat surat rentas negeri nanti, saya akan balik,” ujarnya.
Terdahulu, tular gambar Khalis yang didukung dalam keadaan mukanya yang pucat serta fizikal yang cengkung di Facebook.
Ia mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai mengenai keadaan kesihatan vokalis yang pernah menempa populariti menerusi kumpulan The Real Spin itu.
Menurut Tajul, dia tidak ketahui penyakit lain yang dihidapi abangnya itu melainkan kencing manis.
Namun, dia berharap juga agar orang ramai dapat menitipkan doa buat kesembuhan abangnya.
Sumber: [1]