Terkesan Dengan COVID-19, Golongan Pemandu Beca Terpaksa Tidur Di Kaki Lima

Cerita mengenai segenap lapisan masyarakat yang bergelut kerana COVID-19 bukanlah sesuatu yang kedengaran asing di telinga lagi.

terkesan dengan covid-19, golongan pemandu beca terpaksa tidur di kaki lima

Namun, mungkin ramai yang tidak tahu mengenai wujudnya sebilangan penarik beca di Pulau Pinang yang turut terkesan teruk akibat COVID-19 sehinggakan mereka tidak mempunyai sedikit wang pun untuk membeli makanan bagi mengalas perut.

Menerusi satu laporan yang dikeluarkan akhbar tempatan, rata-ratanya mereka ini merupakan warga emas dan hidup bersendirian.

Lebih merisaukan, kebanyakan mereka juga mengalami pelbagai masalah kesihatan.

Namun, kekangan kewangan menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyewa bilik, lagi-lagi dalam musim pandemik yang mana satu-satunya punca pendapatan mereka iaitu sebagai penarik beca, terkesan teruk.

Berikutan itu, mereka tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan dengan menjadikan beca sebagai tempat berteduh siang dan malam.

Jelas Setiausaha Eksekutif Urban Life Volunteers, Sarah Abdullah, “Mereka terpaksa menjadikan kaki lima atau beca sebagai tempat tidur dan membersihkan diri di tandas awam berhampiran, malah kini mereka hanya bergantung kepada ihsan orang ramai yang menyumbang makanan.

“Tidak sangka begitu nasib mereka walaupun dulu menjadi nadi penggerak kepada sektor pelancongan, namun kini tiada siapa peduli,” terangnya.

Susulan itu, sebagai badan bukan kerajaan (NGO), Sarah berkata pihaknya telah mengambil usaha untuk membantu golongan tersebut dengan menghulurkan bantuan makanan kepada penarik beca di beberapa lokasi di negeri tersebut yang mana antaranya termasuklah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Lokasi-lokasi yang lain termasuklah Lebuh Armenian dan Jalan Penang.

Tambah Sarah lagi, “Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan atau penyumbang bagi menghulurkan bantuan makanan, barang keperluan harian seperti sabun, selimut, tuala, pelitup muka atau pensanitasi tangan.

“Ketika ini kami juga dalam proses mengenal pasti keperluan mereka supaya bantuan yang sesuai dapat disalurkan menerusi dana yang diterima daripada beberapa dermawan,” katanya.

Dalam pada itu, Sarah turut menambah, pihaknya bakal melakukan perbincangan bersama kerajaan negeri Pulau Pinang dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi kehidupan golongan terbabit demi mengelak nasib mereka daripada terlepas pandang.

 

Sumber: [1]