Shuib Kongsi Sarah Gemar Buat Kebaikan Secara Senyap Ketika Hayatnya, Tak Pernah Lokek Bersedekah

Pemergian Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin yang menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi semalam ternyata meninggalkan kesan yang mendalam tidak sahaja dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan artis, namun juga dalam hati orang ramai.

shuib kongsi sarah gemar buat kebaikan secara senyap ketika hayatnya, tak pernah lokek bersedekah

Usai upacara pengebumian Allahyarhamah, pasangannya, Shuib sempat ‘mencuri waktu’ melakukan siaran langsung di Instagram bagi menyampaikan perasaan terima kasih terhadap orang ramai yang tidak putus-putus menyelitkan nama Allahyarhamah isterinya dalam doa mereka.

Seberapa ketika kemudian dalam siaran langsung yang sama, Shuib kemudian mengimbas kembali mengenai perjalanan naik turun, kenangannya hidup bersama Allahyarhamah Siti Sarah yang setia berada di sampingnya dari mula hingga akhir hayatnya.

“Dalam apa sahaja keadaan baik susah dan senang, Siti Sarah tidak pernah tinggalkan saya. Dia tidak pernah malu teman saya berniaga di pasar malam ketika sedang hamil walaupun namanya popular sebagai artis.

“Saya kagum dengan kesetiaannya pada saya, sentiasa beri saya sokongan dan kekuatan. Apa sahaja kejayaan saya hari ini adalah kerana tuah dia. Saya tidak malu mengakui saya berkongsi tuah isteri saya,” kata Shuib dalam perkongsian secara langsung di akaun Instagramnya yang ditonton lebih 600,000 orang itu.

Menurut Shuib lagi, sepanjang 11 tahun mereka hidup bersama sebagai suami isteri, Siti Sarah adalah seorang isteri yang sangat setia, taat dan begitu menghormati suaminya.

Dalam perkongsian yang menghibakan itu, Shuib turut berkongsi cerita mengenai kebaikan yang kerap kali dilakukan Allahyarhamah isterinya itu ketika masih hidup.

“Terima kasih pada 11 tahun yang luar biasa buat isteri saya. Dia tidak pernah berkira dengan sedekah jariah. Rupa-rupanya banyak kebaikan dibuatnya dalam senyap. Duit yang saya bagi pada dia disalurkan pada sedekah dan kerana kemuliaan dia, Allah kurniakan saya rezeki yang melimpah ruah,” ujarnya dalam nada sebak.

9 Ogos 2021, Allahyarhamah yang pernah menempa popular menerusi lagu Kesetiaan itu menghembuskan nafas terakhirnya di usia 36 tahun akibat jangkitan COVID-19.

Selain Shuib, Allahyarhamah Siti Sarah turut meninggalkan empat orang cahaya mata Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan bayi lelaki Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu.

 

Sumber: [1]