Siapa nak sangka, di negara sendiri punya kita punya ‘Masjid Rusia’ yang tersendiri kan?
Sebuah masjid yang diberi nama Masjid Lapan Kubah yang terletak di Jerteh, Terengganu mendapatkan jolokan sebagai Masjid Rusia.
Manakan tidak, seni binanya dikatakan persis bangunan St Basil Cathedral di Moscow, Rusia sehingga menarik perhatian orang ramai.
Berlatar belakangkan kawasan sawah padi yang terletak di tengah-tengah desa, masjid yang dibina sekitar 2012 itu kini tergolong antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan ramai baik dari dalam mahupun luar negeri.
Menurut Wan Ahmad Wan Yaacob, 64, yang mesra disapa ‘Bilal Edi’ berkata keunikan seni bina masjid itu berserta kombinasi warnanya yang meriah dengan warna membuatkan masjid tersebut tidak putus daripada kunjungan orang ramai.
“Ada yang sanggup datang dari utara tanah air bukan sekadar untuk melihat malahan dengan niat untuk turut solat di masjid yang menyerupai antara tempat beribadat termasyhur di negara Eropah. Kewujudan masjid ini turut menaikkan nama kampung yang kurang dikenali sebelum ini.”
Kongsinya lagi, masjid tersebut dibina dengan kos sebanyak RM4 juta menerusi kutipan derma daripada orang ramai, bertujuan menggantikan masjid kayu sebelum ini yang sudah pun berusia lebih 100 tahun dan usang.
Lebih menarik, masjid tersebut juga menggunakan 100% khidmat tenaga dan arkitek tempatan selain dibina di atas tanah bekas tapak sawah padi yang mempunyai keluasan 0.6 hektar itu. Ia mampu menampung sebanyak 500 jemaah pada satu masa.
“Sebelum ini apabila tiba Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kami risau apabila melihat anak-anak kampung terutama yang merantau pulang ke kampung berasa kecewa apabila tidak dapat menunaikan solat hari raya di masjid kerana masjid lama tidak mampu menampung bilangan jemaah yang ramai,” ujar Wan Ahmad.
Tidak ketinggalan, beliau turut meluahkan rasa syukurnya kerana pembinaan masjid tersebut menerima reaksi positif daripada kalangan jemaah terutamanya generasi muda yang menyifatkan ia sebagai gabungan antara reka bentuk klasik dan kontemporari.
Perkara tersebut sekali gus berjaya menarik lebih ramai golongan tersebut untuk menunaikan ibadat di masjid unik itu.
“Disebabkan masjid ini kini menjadi antara mercu tanda kampung ini, pengurusan masjid turut bercadang membuat satu sudut khas bagi menempatkan info dan bahan yang menampilkan sejarah awal masjid lama sehingga terbinanya masjid baharu ini.
“Terdapat beduk yang digunakan untuk memanggil orang kampung setiap kali waktu solat yang berusia lebih 50 tahun yang akan turut dipamerkan di sudut itu kelak.”
Sumber: [1]