Pengarah terkenal, Syafiq Yusof yang juga merupakan adik kepada Syamsul Yusof, kembali dengan filem terbarunya, Penunggang Agama, setelah menemui kejayaan menerusi Abang Long Fadil 2 yang berjaya mengutip RM 18.5 juta pada 2017.
Menghitung debaran sebelum filem terbabit dikeluarkan di Astro Shaw, ujar Syafiq yang buat pertama kalinya mengarahkan filem bergenrekan seram thriller, “Minat yang mendalam dalam berkarya mendorong saya untuk sentiasa berusaha tampilkan kelainan pada setiap filem yang dihasilkan.
“Kali ini, saya memilih genre sebegini dengan elemen islamik kerana cabarannya berbeza, di mana banyak rujukkan yang perlu saya buat, terutamanya pada penghasilan skrip dan adegan.
“Selain itu, konflik penunggang agama itu sendiri sememangnya dekat dengan masyarakat dan saya cuba menyampaikan mesej-mesej yang diharap boleh dijadikan sebagai pengajaran buat kita semua.”
Turut menangkap perhatian, Penunggang Agama juga bakal menyaksikan gandingan antara dua pelakon hebat iaitu Zul Ariffin dan Nasir Bilal Khan yang buat julung kalinya, akan berkongsi layar.
Kata Syafiq, “Di samping itu, pemilihan Zul Ariffin dan Nasir Bilal Khan selaku teraju utama adalah kerana mereka menepati karakter dan kelainan daripada kebiasaan yang pernah kita lihat sebelum ini.
“Seperti umum ketahui Nasir Bilal Khan pernah membawa watak antagonis, jadi dengan kemampuan beliau, kami yakin watak Tok Haji yang lebih berat dapat dijelmakan dengan baik.”
Penunggang Agama turut dibintangi Azira Shafinaz, adik Puteri Nurqaseh, Salina Saibi, Johan As'ari, Sabrina Ali dan Datuk Jalaludin Hassan.
Ia bakal menemui penonton menerusi Astro First, saluran 480 bermula 25 Mac ini.
Penonton boleh melanggan dengan melawati saluran terbabit selain strim di Astro Go atau On Demand dengan hanya semurah RM 15 yang boleh ditonton berkali-kali dalam tempoh 48 jam (2 hari).