Pelakon Era P Ramlee, Pok Dir Semangat Mahu Sambut Hari Kebangsaan

Pelakon tambahan veteran era P Ramlee, iaitu Abdul Kadir Mamat, sering menjadi tumpuan di kala sambutan Hari Kebangsaan kerana semangat patriotiknya yang menginspirasikan sehingga diangkat sebagai ikon.

pelakon era p ramlee, pok dir semangat mahu sambut hari kebangsaan

Abdul Kadir yang juga mesra disapa Pok Dir dalam kalangan penduduk setempat, pastinya akan mengenakan baju bercorak Jalur Gemilang dan menyertai sempena Hari Kebangsaan setiap kali menjelangnya sambutan hari gilang-gemilang itu.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan Pok Dir yang kini terbatas berikutan kanser prostat yang dihidapinya menyebabkan beliau terpaksa memakai tiub pundi kencing sekali gus menyukarkan pergerakan.

“Saya sering diundang oleh pelbagai pihak bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan khususnya pihak sekolah tetapi kini keadaannya tidak lagi semeriah dahulu apatah lagi dengan pandemik COVID-19 yang tidak diketahui bila akan berakhir.

“Bagi menyambut hari ‘keramat’ kali ini saya rasa mungkin akan menyambutnya di rumah sahaja bersama isteri, Hasmah Yusof, 56. Sebelum ini saya ada memasang niat untuk berarak keliling kampung sambil membawa Jalur Gemilang,” kongsinya kepada satu akhbar tempatan.

Jelas Pok Dir lagi, kesihatannya dilaporkan mulai merosot sejak lebih sebulan lalu dan terpaksa berulang-alik ke hospital bagi menerima rawatan.

Ketika zamannya masih aktif berlakon, Pok Dir pernah memainkan watak pelbagai tambahan dalam filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Kanchan Tirana.

Ketika membintangi Ali Baba Bujang Lapok, Pok Dir melakonkan watak penyamun pertama yang dijurus dengan minyak panas oleh Marjina lakonan seniwati Datuk Sarimah Ahmad.

 

Sumber: [1]