Kenali Fariz Hanapiah dan Abdul Shakir dari Filamen: Kolektif Di Sebalik Seni Audio-visual di Urbanscapes

Filamen adalah titik pertemuan seni visual, idea-idea dan teknologi. Artis, juruteknologi dan pakar pemetaan projek, Filamen, akan kembali ke Urbanscapes pada November ini. Ini adalah kali ketiga mereka mempersembahkan Immersio 3.0: suatu pengalaman imersif– sama seperti namanya – dengan menggunakan instalasi audio-visual, yang akan dipersembahkan dengan pertunjukan seni di dalam tiga rumah kedai bersejarah di Medan Pasar. Dengan teknologi terlihat seperti tak ada erti – ia biasanya terbentuk daripada kod abstrak, isyarat-isyarat, gelombang halimunan – Filamen menyatukan warna, cahaya dan muzik untuk mencipta pengalaman penuh imbasan, khas untuk tempat persembahan projek instalasi tersebut.

Di mana dunia fizikal dan digital bergabung – itulah di mana anda menemui Fariz Hanapiah dan Abdul Shakir, pengasas Filamen dan Immersio.

KREDIT: Video oleh Filamen

Tahun ini, Immersio 3.0 membabitkan Filamen mengubah tiga rumah kedai bersejarah di Medan Pasar menjadi alam digital yang  imersif. Shakir berkata: “Ideanya adalah untuk menggunakan seni media untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat sekeliling – kerana kita selalunya mengutamakan komuniti. Medan Pasar adalah tempat yang kaya dengan kebudayaan dan sejarah; di situlah tempat  orang berjumpa dan berkumpul, sebagaimana dilakukan dari zaman dahulu hingga ke hari ini. Kami berharap Immersio 3.0 dapat melakukan yang sama, mengeratkan orang-orang dengan sekeliling mereka.”

“Kami beritahu artis-artis kami supaya mempertimbangkan aspek ruang – kerana ia mesti dicipta khas untuk di tapak lokasi instalasi,’’ jelas Fariz Hanapiah. Immersio sentiasa mengambil bahagian dalam intervensi di lokasi spesifik di Kuala Lumpur; di mana lokasi fizikal karya seni tidak boleh dipisahkan daripada identitinya. “Dari segi estetika, terserah kepada artis bagaimana untuk menterjemahkan karyanya; ia boleh mengangkat, atau menawarkan pengalaman berlainan di lokasi tersebut. Selain itu, fungsi juga penting: artis perlu memahami audiens yang akan datang untuk mengalami instalasi tersebut. Sebagai artis, jika kita tahu bahawa akan ada kanak-kanak di kawasan itu, semestinya kita  perlu memikirkan keselamatan dan tidak menggunakan benda-benda tajam atau seumpamanya. Pada akhirnya, karya seni ini adalah mengenai orang ramai.”

“Sekarang ini, audiens selalu mahu sesuatu yang boleh dikongsikan di Instagram. Ini adalah sesuatu yang baik dan juga buruk,’’ kata Fariz. “Kami mahu audiens menikmati karya seni sebagaimana ia dipersembahkan – tetapi bila mereka melihat seni disebabkan mereka mahu mendapat lebih banyak `like’ di Instagram, pemikiran di sebalik karya seni itu akan hilang. Karya seni tersebut hanya digunakan sebagai prop.  Namun, ia kembali kepada tujuan kenapa seni itu dikaryakan. Kalau para artis mahu seninya menjadi popular di Instagram, maka itu bukanlah satu masalah. Ini akan menjadi masalah kalau artis itu bertujuan sebaliknya. Bagi audiens, mereka mungkin tidak tahu perbezaannya.”

Teknologi – dan juga, media sosial – meluaskan akses kepada karya seni. Untuk sebahagian, teknologi adalah seni. Dunia seni selalunya adalah kelab eksklusif; jika anda seorang artis baharu, apalagi artis media baru, untuk memaparkan karya seni anda di galeri seni adalah suatu cabaran. Pada nadinya, Immersio adalah  mengenai penciptaan karya seni diluar kanvas yang memecahkan had-had yang ada, di mana seseorang boleh menyentuh, memakai, dan berinteraksi dengan karya seni tersebut.

“Kami telah bekerjasama dengan Urbanscapes dan Freeform sejak beberapa tahun terakhir ini; dan kami boleh dikata memiliki misi yang sama,’’ kata Fariz, mengenai menjadikan karya seni mudah diakses kepada orang ramai. “Ini bukan sahaja mengenai artis yang perlu ada kesedaran sedemikian, tetapi dalam hal ini, juga untuk sesiapa sahaja yang menyokong penciptaan karya seni ini, apalagi bila berkaitan dengan seni digital dan seni media baru. Adalah sangat mudah untuk bekerja dengan orang yang memahami perkara ini – dan kami berharap akan ada banyak lagi badan yang mempunyai kesedaran begitu. Saya rasa usaha Urbanscapes untuk menjalin kerja dengan dewan bandar raya harus diteruskan – kerana merekalah yang memegang kuasa untuk membuat perubahan. Kita hanya perlu bekerjasama untuk Kuala Lumpur lah, kita tak boleh masing-masing sangat lah.”

“Sekarang ini, macam-macam perkara sedang berlaku, tetapi kita perlu mengertikan satu perkara ikonik, bagaimana orang akan mengingat Kuala Lumpur?’’ kata Fariz. “Pasar Seni adalah destinasi yang paling tidak dipentingkan di Kuala Lumpur, pasal orang takut nak datang sini. Walaupun dewan bandar raya sudah mengusahakan untuk membersih dan mencantikkannya, ramai orang masih memilih untuk pergi ke pusat beli-belah.”

“Jika Kuala Lumpur itu seorang manusia, dia seorang awek yang susah dijangka – sebab siang kau pergi dia macam ni, malam kau pergi dia macam ni, esok kau pergi dia macam ni, cepat berubah. Dia selalu menukar fikirannya tetapi dia tetap cantik,’’ kata Fariz.

Filamen adalah dianggotai Fariz Hanapiah dan Abdul Shakir. Immersio 3.0 akan memaparkan STATE SENSOR, Fabu, Iwaz, Kimy .A, Azarikh, Fi7i, Beatnation, Reza Othman, LOCH, VLIXN, Numendium (ID), Farhan Fathee, Saishogen, Max Jala & Adam Macpherson, No-to-scale, dan  Titik Buta dari 16 hingga 24 Nov di Medan Pasar. Masuk adalah percuma.

kenali fariz hanapiah dan abdul shakir dari filamen: kolektif di sebalik seni audio-visual di urbanscapes

Pengkarya seni digital berdinamik, Abdul Shakir (L) dan Fariz Hanapiah (R)

kenali fariz hanapiah dan abdul shakir dari filamen: kolektif di sebalik seni audio-visual di urbanscapes

Kedua-dua Fariz dan Shakir cuba menyeimbangkan seni, teknologi dan elemen paling penting di dalam persembahan, orang ramai.

kenali fariz hanapiah dan abdul shakir dari filamen: kolektif di sebalik seni audio-visual di urbanscapes

Alami karya seni yang imersif di Immersio 3.0 di Medan Pasar

kenali fariz hanapiah dan abdul shakir dari filamen: kolektif di sebalik seni audio-visual di urbanscapes

Mungkin satu hari nanti kita boleh mempersembahkan karya di kawasan pendalaman,’’ Fariz berkongsi aspirasi Filamen untuk masa hadapan.

kenali fariz hanapiah dan abdul shakir dari filamen: kolektif di sebalik seni audio-visual di urbanscapes

Filamen bukan sahaja meneroka sempadan persembahan seni konvensional tetapi juga hasil karya artis juga.

 

Oleh: Smek Almohdzar