Kerana ingin memenuhi hajat kakak ipar yang mengidam untuk makan kerepek manchor, seorang wanita terpaksa ‘merayu’ di media sosial demi mendapatkan makanan yang disifatkan sebagai ‘rare’ itu.
Menerusi ciapan Saidatul Najmin Azman yang tular di Twitter, dia menulis: "Gais, tolong gais. Kakak ipar aku mengandung, mengidam nak kerepek ni. Sebiji macam ini. Bukan rempeyek ye. Tu yang bulat. Aku tanya dah. Dia tak nak yang itu. HELP ME PLEASEEEE FOR MY FUTURE ANAK BUAH. Siap dia bila dia keluar,” candanya.
Tambah Saidatul, kakak iparnya yang berusia 36 tahun itu sedang hamil tiga bulan bagi menyambut cahaya mata ketiga.
Namun, yang menyedihkan adalah apabila kakak iparnya yang juga merupakan seorang suri rumah kini berada di Hospital Sungai Buloh akibat dijangkiti COVID-19 sekali gus menyukarkannya untuk mendapatkan makanan berkenaan.
Menurut Saidatul, ia bukan kali pertama kakak iparnya mengidam untuk memakan kerepek manchor kerana tujuh tahun lalu dia turut menginginkan makanan yang sama.
“Tujuh tahun lalu, Kak Siti pernah mengidam kerepek itu dan kali ini dia mengidam benda yang sama tetapi saya tidak tahu hendak cari di mana.
“Rupa kerepek ini seakan rempeyek tetapi berbentuk segi empat sama. Pada awalnya, abang dan saya ada tunjuk rempeyek tetapi Kak Siti mahukan juga kerepek manchor,” ujar Saidatul.
Tambahnya lagi, dia tidak menyangka bahawa ciapan tersebut akan tular di Twitter hingga membuatkan ramai warganet tergerak hati untuk membantunya mencari kerepek berkenaan.
Dia turut berkongsi bahawa dia telah pun memesan kerepek tersebut dan menjangkakan makanan tersebut untuk sampai sekitar minggu depan.
Dalam pada itu, gara-gara ciapan tersebut, produk kerepek manchor yang dijual dalam talian juga kebanyakannya laris terjual kerana ramai warganet turut membeli produk tersebut.
Sumber: [1]