COVID-19: 91 Lagi Kes Maut, 7,097 Jangkitan Baru Pada 7 Julai

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 7 Julai 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 4,863 kes (719,678 kes kumulatif, 90.0%);
  • Kes baharu : 7,097 kes (799,790 kes kumulatif);
  • Kes import : 26 kes (15 warganegara, 11 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 7,071 kes [5,521 warganegara (78.1%); 1,550 bukan warganegara (21.9%)];
  • Kes aktif : 74,344 kes;
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 948 kes;
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 441 kes;
  • Kes kematian : 91 kes (5,768 kes kumulatif, 0.72%; 79 warganegara, 12 bukan warganegara);
  • Jumlah kluster : 2,970 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 18 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 2,120 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 850 kluster.

Sebanyak 91 kes kematian dicatatkan pada 7 Julai 2021, yang mana ia melibatkan 47 kes di Selangor, 16 kes di Negeri Sembilan, 10 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing empat (4) kes di Johor dan Melaka, tiga (3) kes di Sarawak, dua (2) kes di Perak, serta masing-masing satu (1) kes di Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Kedah.

covid-19: 91 lagi kes maut, 7,097 jangkitan baru pada 7 julai

Sejak dari 30 Jun hingga 6 Julai, purata kes baharu harian di Malaysia adalah sebanyak 6,539 kes setiap hari, dan ia masih lagi tinggi berbanding nilai ambang PPN iaitu kurang 4,000 kes sehari. Lebih membimbangkan lagi, tren kemasukan kes-kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada pada tahap yang tinggi dan tidak menunjukkan penurunan yang ketara, di mana jumlah penggunaan katil ICU juga masih melebihi 90 peratus.

 

Tambah KKM lagi, empat negeri kini menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital iaitu WP Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan WP Labuan. Dengan kes harian baharu di negeri-negeri tersebut yang tidak menunjukkan tanda pengurangan, KKM menyatakan rasa kebimbangan yang sistem kesihatan di negeri tersebut akan lumpuh jika ia kekal berterusan.

 

Untuk mengelakkan situasi buruk itu daripada terjadi, berikut adalah antara langkah yang telah diambil dengan meningkatkan kapasiti merawat COVID-19 di lapangan:

  • Penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai Full COVID-19 Hospital, misalnya Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh, dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia;
  • Meningkatkan lagi kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5;
  • Memindahkan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisma penyumberan luar;
  • Mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes COVID-19; 
  • Menaik taraf kegunaan katil (repurpose bed) di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19; 
  • Menambah kapasiti katil-katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19;
  • Cadangan menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai hospital COVID-19;
  • Bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit COVID-19 di katil wad biasa dan di katil ICU;
  • Menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian fasiliti kesihatan swasta; dan
  • Memobilisasikan lebih ramai petugas kesihatan dari negeri-negeri PPN Fasa 2 ke negeri-negeri kritikal bagi tujuan rawatan pesakit, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti mengawal wabak COVID-19 dan vaksinasi.

 

Sumber: KKM