Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana akui mengambil masa kira-kira 20 jam untuk merakam lagu hasil ciptaan Datuk M Nasir berjudul Menyantun.
Katanya, proses rakaman tersebut agak rumit kerana Datuk M Nasir inginkan kesempurnaan dalam lagu tersebut.
“Selepas hampir lima tahun, Datuk M Nasir setuju untuk cipta lagu untuk saya, amatlah berbesar hati dan terharu.
“Ini kerana Datuk M Nasir sangat memilih penyanyi untuk mendapatkan khidmatnya.
“Untuk lagu Menyantun Kasih saya perlu hadiri empat kali proses rakaman dalam tempoh hari yang berbeza.
“Ini antara pengalaman berharga saya bekerjasama dengan komposer tersohor,” katanya kepada Astro Awani.
Dalam pada itu, Siti Nordiana menambah, dia perlu menjalani proses latihan suara agar bersedia untuk merakamkan lagu.
“Pada mulanya, Datuk M Nasir bertanya kepada saya, adakah saya boleh nyanyi lagu dia.
“Dengan pantas saya menjawab, saya kata boleh dan berjanji akan beri komitmen yang sepenuhnya.
“Syukur Alhamdulilah, saya berjaya rakamkan lagu ini dengan tunjuk ajar beliau,” akhirnya.
Lagu Menyantun Kasih boleh ditonton menerusi platform Youtube mulai 14 Oktober 2022.
Oleh: Syahdeen