Wabak COVID-19 mengejutkan dunia lewat hujung tahun lalu dan sudah mengorbankan lebih 3,000 orang. Di negara ini sahaja, 50 kes positif wabak COVID-19 dicatatkan setakat 4 Mac. Namun, daripada jumlah itu, 22 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.
Apabila timbul isu sebegini, pasti ada di antara kita tiba-tiba menjadi 'pakar kesihatan' di media sosial. Jadi, kami kongsikan beberapa mitos dan fakta pencegahan COVID-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
1. Bawang Putih mampu mencegah jangkitan COVID-19?
Tidak. Bawang putih memang diakui antara salah satu makanan sihat di samping memiliki sifat-sifat antimikrobial. Namun, setakat ini tiada bukti saintifik menunjukkan pengambilan bawang putih mampu melindungi individu daripada wabak Koronavirus.
2. Haiwan peliharaan mampu jadi ejen penyebar Koronavirus?
Tidak. Belum ada bukti haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing boleh dijangkiti Koronavirus. Bagaimanapun, orang ramai dinasihat untuk sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air selepas memegang haiwan peliharaan mereka. Ini dapat membantu melindungi daripada bakteria seperti E.coli dan Salmonella yang mampu berpindah daripada haiwan kepada manusia.
3. Semburan alkohol atau klorin di seluruh badan mampu membunuh COVID-19?
Tidak. Menyembur alkohol atau klorin di seluruh badan tidak akan membunuh virus yang telah memasuki tubuh badan. Menyembur bahan-bahan tersebut hanya memudaratkan pakaian atau membran mukus seperti mata dan mulut. Perlu ingat, alkohol dan klorin boleh digunakan untuk membasmi bahagian permukaan namun memerlukan syor yang sesuai.
4. Adakah vaksin pneumonia mampu melindungi anda daripada Koronavirus?
Tidak. Vaksin radang paru-paru seperti vaksin Pneumokokus dan vaksin Haemophilus Influenza B tidak memberi perlindungan terhadap Koronavirus.
Ini kerana COVID-19 adalah virus baru dan memerlukan vaksinnya sendiri. Para penyelidik kini cuba membangunkan vaksin Koronavirus yang turut mendapat sokongan WHO. Walaupun vaksin ini tidak berkesan terhadap COVID-19, vaksinasi terhadap penyakit berkaitan pernafasan adalah sangat disyorkan untuk melindungi kesihatan anda.
5. Pengering tangan mampu membunuh COVID-19?
Tidak. Pengering tangan tidak berkesan untuk membunuh Koronavirus. Untuk melindungi diri anda daripada virus ini, anda perlu kerap membersihkan tangan dengan sapuan tangan berasaskan alkohol dan atau membasuhnya menggunakan sabun dan air. Selepas itu, tangan hendaklah dikeringkan dengan tisu tandas atau pengering tangan.
6. Bolehkan lampu ultra ungu membunuh Koronavirus?
Tidak. Lampu ultra ungu tidak boleh digunakan untuk mensterilkan tangan atau kawasan kulit lain kerana radiasi UV boleh menyebabkan kerengsaan kulit.
7. Minyak bijan mampu menghalang wabak COVID-19 memasuki badan?
Tidak. Minyak bijan tidak membunuh Koronavirus. Namun, terdapat beberapa bahan kimia yang boleh membunuh 2019-nCoV pada permukaan seperti peluntur atau klorin, pelarut, 75% etanol, asid parasetik dan klorofom. Walau bagaimanapun kesemua bahan kimia ini mempunyai sedikit atau tiada kesan pada virus jika anda meletakkannya pada kulit atau di bawah hidung anda. Malah, adalah berbahaya untuk meletakkan bahan kimia ini pada kulit anda.
8. Adakah antibiotik berkesan dalam mencegah dan merawat COVID-19?
Tidak. Antibiotik tidak berfungsi dengan virus, hanya bakteria. Coronavirus adalah virus dan oleh itu, antibiotik tidak boleh digunakan sebagai cara pencegahan atau rawatan. Walau bagaimanapun, jika anda dimasukkan ke hospital akibat COVID-19, anda mungkin menerima antibiotik kerana kemungkinan jangkitan bakteria.
9. Adakah pengimbas terma cukup berkesan dalam mengesan individu yang dijangkiti dengan Koronavirus?
Tidak. Pengimbas terma berkesan dalam mengesan orang yang mengalami demam (suhu badan lebih tinggi daripada normal) kerana jangkitan COVID-19, Namun, alat itu tidak mampu mengesan individu yang dijangkiti tetapi belum alami demam. Ini kerana ia mengambil masa antara dua hingga sepuluh hari sebelum orang yang dijangkiti Koronavirus jatuh sakit dan mengalami demam.
10. Bolehkah membilas hidung anda dengan Saline membantu mencegah jangkitan COVID-19)
Tidak. Masih tiada bukti membasuh hidung menggunakan Saline dengan kerap mampu melindungi seseorang itu daripada jangkitan Koronavirus. Terdapat beberapa bukti terhad kononnya kerap membilas hidung dengan garam boleh membantu mempercepatkan pemulihan daripada selesema biasa. Walau bagaimanapun, kekerapan membilas hidung mampu mencegah masalah jangkitan pernafasan.
11. Adakah Koronavirus hanya menjangkiti individu lebih tua atau orang muda mudah juga terdedah?
Tidak. Semua peringkat umur boleh dijangkiti COVID-19. Orang tua dan mereka yang mempunyai rekod perubatan yang sedia ada seperti asma, diabetes dan penyakit jantung dilihat lebih terdedah dan jatuh sakit akibat virus itu. Justeru, WHO menasihati semua pihak mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri mereka daripada virus seperti mengamalkan kebersihan tangan dan kebersihan pernafasan yang baik.
12. Adakah selamat untuk menerima surat atau pakej dari China?
Ya. Buat mereka yang selalu membeli barangan secara atas talian terutama dari China, pasti nak tahu barangan dibeli tu selamat atau tidak untuk diterima. Jawapannya selamat. Mereka yang menerima pakej dari China tidak berisiko terkena Koronavirus. Menerusi analisis terdahulu, kita mengetahui wabak COVID-10 tidak bertahan lama pada objek, seperti surat atau pakej.
Apa pun sehingga kini, belum ada ubat khusus yang disyorkan untuk mencegah atau merawat pesakit yang disahkan positif COVID-19.
Walau bagaimanapun, mereka yang dijangkiti virus harus menerima penjagaan yang sesuai untuk mengubati gejala sementara mereka yang mempunyai penyakit yang serius harus menerima penjagaan sokongan yang optimum.
Beberapa rawatan khusus sedang dijalankan dan akan diuji melalui ujian klinikal. WHO turut membantu mempercepatkan usaha penyelidikan dan pembangunan dengan pelbagai atau rakan kongsi.
Oleh: Shah Rahimi