Esok, 13 Mei 2021 adalah hari dimana semua umat Islam akan menyambut 1 Syawal. Namun ekoran daripada pandemik COVID-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan hari raya kali ini sudah pastinya berbeza.
Tetapi raya tetap raya. Tidak lengkap rasanya raya kalau tidak dihidangkan bersama menu wajib iaitu lemang.
Jika sebelum ini lemang disediakan dengan menggunakan buluh dan dibakar pada api dan bara menyala, kini proses penyediaannya lebih mudah dan ringkas kerana hanya menggunakan cawan kertas. Ikuti resipi yang dikongsikan oleh Sue M Arukin seperti yang dipetik dari portal Rasa.my :
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 kg beras pulut — cuci & toskan
- 600ml santan pekat
- 1 sudu teh garam halus
- 5-6 biji cawan kertas (yang saiz tinggi)
- Daun pisang secukupnya
CARA MEMASAK:
- Gulung daun pisang yang dah dicuci dan letakkan dalam cawan kertas (saya buat 2 lapis daun pisang).
- Letakkan beras pulut yang dah dicuci hingga 3/4 penuh atau hampir penuh.
- Santan dicampur dengan garam lalu kacau sebati. Tuang ke atas pulut hingga lebih sedikit dari paras pulut (lebih kurang setengah inci). Kalau suka lemang tu agak lembik/lembut boleh lebihkan santan.
- Letakkan cawan kertas berisi pulut dan santan ke dalam periuk pengukus yang dah dipanaskan airnya.
- Kukus selama 50-60 minit atau hingga lemang masak. Selepas 30 minit mengukus, buka tudung periuk dan kacau sedikit pulut dengan garfu supaya santan menyerap sepenuhnya ke bahagian bawah.
- Gunting cawan kertas dan buang. Potong lemang mengikut citarasa. Boleh makan dengan rendang, kari ayam/daging, serunding, sambal tumis dan dengan durian pun sedap.
Selamat mencuba!
Sumber: Sue M Arukin via Rasa.my