Gara-gara wajahnya yang dikatakan menyerupai pelakon popular Korea Selatan, Lee Min Ho, seorang pemuda Indonesia viral sehinggakan nasi kuning yang dijualnya di gerai tepi jalan habis dijual!
Menurut pemuda yang dikenali sebagai Doddy Angga Andrianto itu, gerai nasi kuning miliknya yang terletak di Jalan Lambung Mangkurat, Samarinda itu kini penuh dengan pelanggan, dan rata-ratanya kebanyakan mereka adalah golongan wanita.
Berbeza dengan suasana dahulu yang kebiasaannya sepi dan sunyi daripada kunjungan pelanggan, kongsi Doddy lagi, kini dia berupaya menghabiskan jualan nasi kuningnya itu sesingkat tempoh satu jam yang bersamaan dengan 15 kilogram beras sekali masak!
Namun, di sebalik populariti yang ditempanya akibat viral di media sosial, ada juga pelanggan yang cuba menggodanya.
“Ada yang membelai tangan saya, mengajak saya teman berjalan-jalan, namun saya masih profesional menjual nasi kuning,” ujar pemuda yang dilahirkan pada 1993 itu kepada salah satu media tempatan di Indonesia.
Memilih untuk melihat populariti mendadak yang ditempanya itu sebagai sesuatu yang positif, jelas Doddy, dia menganggap rezeki yang diterimanya sekarang sebagai cara untuk membahagiakan ibu bapanya.
Berlatar belakangkan keluarga yang sederhana, terang pemuda yang berusia 28 tahun itu, kedua-dua ibu bapanya juga merupakan penjual nasi kuning.
Apa yang dilakukannya sekarang adalah sebagai usaha untuk meneruskan legasi neneknya yang memulakan perniagaan tersebut dalam keluarga mereka.
Tidak lama dahulu, perniagaan terbabit pernah ditutup selama beberapa tahun setelah pemergian arwah datuknya hingga menyebabkan keluarga mereka terkesan.
Berikutan itu, sebilangan harta sepencarian antara nenek dan arwah datuknya juga terpaksa dijual dan diedarkan kepada beberapa ahli keluarga.
Setelah beberapa tahun, neneknya itu tidak dapat meneruskan perniagaan nasi kuning tersebut kerana faktor usia yang semakin meningkat.
Namun, Doddy memilih untuk bangkit, yang mana dia cuba meyakinkan ibu bapanya untuk meneruskan perniagaan terbabit.
“Saya memberi motivasi kepada ibu saya, sekiranya maju kita akan menjual lagi. Awalnya tiada khemah, tetapi ia merupakan permulaan semula. Tempat duduk di lantai, tidak ada khemah. Hujan basah. Oleh itu, kami mula menjualnya lagi dari bawah setelah sekian lama tutup,” ceritanya yang juga merupakan seorang graduan Jurusan Ekonomi Bisnes.
Sambung Doddy, pada 2011, dia melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti di salah satu universiti di Indonesia.
Biarpun sibuk dengan kuliah pada ketika itu, dia tidak pernah terlepas untuk menolong ibu bapanya di gerai, dan antaranya termasuklah dengan melayani pelanggan dan mencuci pinggan.
Pada 2019, dia mula bekerja di bahagian khidmat pelanggan untuk satu ejen pelancongan tempat, namun kontraknya tidak dilanjutkan setahun kemudian, menyebabkan Doddy kembali menolong ibunya menjual nasi kuning sementara mencuba nasib dalam bidang pekerjaan lain.
Cubaan demi cubaan, Doddy akhirnya menerima panggilan daripada salah satu syarikat telekomunikasi, tetapi kali ini dia menolak kerana tidak sanggup melihat ibu bapanya bersendirian bersusah-payah menjual nasi kuning.
Akhirnya, sehingga kini, Doddy dan dua orang adiknya menolong ibu mereka menjual nasi kuning, sementara ayahnya pula bertugas membeli bahan makanan sebelum memasak.
Selain membantu ibu bapanya di gerai, Doddy juga kini aktif menumpukan perhatian dalam menjadi atlet bina badan.
“Pekerjaan lain, saya juga sering menyertai pertandingan bina badan,” ujarnya.
Kongsi Doddy lagi, sebelum viral kerana dikatakan menyerupai artis Korea, dia juga sebenarnya sering mendengar pujian yang sama daripada rakan-rakannya di universiti.
Namun, dia tidak begitu peduli.
“Ada yang mengatakan seperti orang Thai, Cina, macam-macam. Ada yang berkata seperti artis Boy William, Andi Lau, Siwon dan lain-lain. Saya tidak kenal dengan artis-artis itu, ramai kawan kata kenapa baru sekarang hendak viral,” ujarnya.
Sumber: [1]