Kecoh baru-baru ini mengenai seorang YouTuber lokal yang ditahan pihak polis selepas melakukan ‘prank’ tarik tudung sehingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan orang ramai.
Pemilik YouTube NickChannel, Fakrul Rushdan Roslan itu kini berhadapan dengan kesalan dan mengaku bahawa dia perlu bertanggungjawab terhadap semua yang terjadi.
Memetik laporan portal akhbar tempatan, YouTuber berusia 24 tahun itu mengatakan perkara yang terjadi padanya baru-baru ini ternyata meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya, lagi-lagi ketika ditahan di lokap sepanjang siasatan kes tersebut dijalankan.
Ketika berada dalam tahanan polis, kongsinya, dia banyak meluangkan masa bermuhasabah diri, selain mengalami kesukaran tidur kerana hati yang tenteram memikirkan keluarga yang tidak dapat menerima tindakannya itu.
“Saya faham perkara itu berkait dengan soal agama tetapi ketika saya buat (video) itu, saya tak berfikir panjang. Apabila jadi begini barulah saya terfikir kesannya. Silap saya sebab tak buat penjelasan awal, yang ia adalah eksperimen sosial hingga ramai salah faham,” katanya.
Ujar Nick, semasa di dalam lokap, dia mengalami kesukaran tidur kerana hatinya yang tidak tenteram fikirkan keluarga selain tidak dapat menerima tindakannya itu.
Tambahnya, ibunya merupakan insan yang paling sedih terhadap apa yang berlaku dan dia masih belum berkesempatan untuk berjumpa dengan ibunya di rumah keluarga di Rawang.
“Saya hanya berhubung di telefon dan menjelaskan hal sebenar. Emak, ayah dan abang tahu semuanya dan mereka sedih, tapi emak yang paling terkesan. Saya hanya mampu berterus terang, mengakui kesilapan saya dan meminta maaf. Saya beritahu akan selesaikan semuanya dan menjaga air muka mereka.”
Sejak video itu tular, Nick tidak henti-henti menerima kecaman daripada rakyat Malaysia sehingga terpaksa membuat laporan polis bagi melindungi diri selepas ada yang mengugut untuk mencederakannya.
“Nak cakap sedia (untuk keluar dan menghadap masyarakat) masih 50-50 lagi, sebab ramai tak boleh terima apa saya buat. Buat masa ini, saya selesa duduk rumah dahulu sehingga kes selesai.”
Menurut Nick, idea asalnya adalah untuk menguji orang Melayu tentang sejauh mana mereka akan mempertahankan maruah wanita sekiranya melihat kejadian seumpama itu berlaku.
Namun, dia mengaku kesilapan dirinya yang tidak menjelaskan tujuan ‘prank’ tersebut dilakukan.
Nick didakwa di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur pada 6 Julai di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 selepas tular menghasilkan video ‘prank’ tarik tudung wanita beragama Islam di media sosial.
Sumber: [1]