Bagi meningkatkan kesihatan fizikal serta mental para pelajar, kelas yoga akan diperkenalkan di universiti di Arab Saudi tidak lama lagi.
Menurut Presiden Jawatankuasa Yoga Saudi (SYC), Nouf Al-Marwaai berkata, beberapa perjanjian akan ditandatangani dengan universiti-universiti utama bagi merealisasikan usaha itu.
Ujarnya, senaman yoga akan diperkenalkan di universiti dengan menekankan kepentingan senaman untuk kesihatan. Malah katanya, pengenalan yoga di universiti adalah satu perkara yang efektif.
Kelas senaman yoga itu nanti bukan sekadar proses meditasi dan menenangkan, tetapi ia merangkumi latihan postur serta teknik pernafasan.
“Ia termasuk latihan postur Asana, teknik pernafasan Pranayama, kawalan otot Bandhas serta meditasi Dhayan dan Yoga Nidra,” katanya.
Selain itu, pengenalan yoga di universiti dapat mencari lebih ramai bakat baharu dalam semua jenis yoga atau sukan Yogasana.
“Ini adalah platform untuk mengasah bakat pelajar serta memberi sokongan kepada mereka untuk mengambil bahagian dan mewakili negara dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Sumber: Utusan